Hina Islam : Pas mahu pemimpin negara Islam bersatu

Hina Islam : Pas mahu pemimpin negara Islam bersatu

SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang menyertai bantahan aman berkait penghinaan Islam dan membakar Al-Quran oleh ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan Rasmus Paludan di Medan Ilmu, di sini hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menyeru pemimpin-pemimpin negara Islam bersatu bagi membentuk kekuatan dalam usaha menghapuskan fahaman Islamophobia yang boleh mencemarkan imej agama.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, negara-negara Islam akan terus dilihat lemah sekiranya terus berpecah dan bersikap ego dengan ideologi negara masing-masing.

“Negara Islam sepatutnya menguatkan ikatan antara mereka. Pecahkan tembok kenegaraan dan ketaksuban melampau yang jelas di luar daripada kehendak agama.

“Negara-negara Islam kena bersatu agar lebih disegani dan digeruni di mata dunia. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)  mesti diperkuatkan dan jangan hanya jadi ‘oh, I see’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan aman bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam dan membakar Al-Quran oleh ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan Rasmus Paludan di Medan Ilmu, di sini hari ini.

 

SEORANG warga emas (tengah) memang kad tertera tulisan Jangan Hina Agama Islam Kami pada bantahan aman berkait penghinaan Islam dan membakar Al-Quran oleh ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan Rasmus Paludan di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Ahmad Marzuk menegaskan, negara-negara Islam perlu membentuk kesatuan seperti Kesatuan Eropah (EU) sehingga mampu membina kekuatan gabungan ketenteraan antara negara-negara barat.

“Kalau EU boleh buat, kenapa pula negara-negara Islam tidak boleh membina kekuatan sebegitu? Kita perlu wujudkan kerjasama antara negara Islam dalam semua aspek termasuk ekonomi dan ketenteraan agar dapat tampil lebih kuat, kaya dan hebat.

“Negara-negara Islam perlu tampil lebih gah di mata dunia agar tidak boleh digugat oleh negara-negara barat sekaligus berupaya menghapuskan Islamophobia,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, pada masa sama semua pemimpin serta ahli politik di negara ini perlu bekerjasama menghapuskan Islamophobia dan tidak lagi memainkan sentimen yang boleh mewujudkan ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap agama.

“Islam mengajar penganutnya agar tidak menghina agama lain. Kita hidup dalam rukun dan damai bersama masyarakat bukan Islam. Islam adalah agama yang lunak dalam menyantuni semua bangsa.

“Saya harap rakyat di Malaysia dapat mengelakkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti setiap kaum termasuk penghinaan dan cacian terhadap perkara-perkara berkaitan agama,” katanya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya