PETALING JAYA: Video tular memaparkan pasangan Rusia memanjat puncak Menara Merdeka 118 di sini baru-baru ini dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyiasat ketulenan rakaman tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Setakat ini, kita masih menunggu maklum balas daripada pihak imigresen mengenai rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini.
“Kita juga sedang bekerjasama dengan SKMM mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video berkenaan yang ditularkan menerusi laman web ‘Sky Scraper City Forum’,” kata beliau pada sidang media selepas Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar, awal pagi tadi.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang merakam percakapan pihak pengurusan menara berkenaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNB) bagi membantu siasatan.
TEKNOLOGI
“Kita tidak menolak kemungkinan rakaman itu dihasilkan dengan kesan teknologi terkini tanpa perlu berada di menara berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan PNB menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan,” jelasnya.
Tambah Yahaya, pihak polis sedang menunggu hasil siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan imigresen.
“Setakat ini, pihak polis menerima satu laporan yang dibuat pihak pengurusan selepas video pasangan itu memanjat Menara Merdeka 118 tular, baru-baru ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118.
Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat menggunakan tangga dari dalam menara itu untuk sampai ke puncak.- UTUSAN