SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban terhadap seorang doktor muda berhubung surat aduan mengenai gangguan yang diterimanya.
Hakim, Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr. Suraina Mohamad Sulaiman yang merupakan pakar perubatan Gred UD54 gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan, Dr. Nur Qalida Amirah Mahazir yang merupakan pegawai perubatan siswazah berpangkat junior Gred UD41.
“Setelah meneliti keterangan saksi dan eksibit yang dikemukakan di hadapan mahkamah dan mempertimbangkan hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak di atas imbangan kebarangkalian.
“Mahkamah memutuskan plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan. Dengan ini, tuntutan plaintif harus ditolak dengan kos,” katanya.
Dr. Nur Qalida Amirah pada 14 Oktober 2019, telah membuat aduan mengenai harassment atau gangguan yang berlaku di tempat kerja di HTJ yang dilakukan oleh Dr. Suraina.
Berdasarkan surat aduan itu, Dr. Nur Qalida Amirah memaklumkan selama lebih kurang sembilan bulan bekerja di jabatan kecemasan HTJ, ada perkara yang tidak sewajarnya berlaku kepadanya dan rakan-rakan sejawat.
Antara yang di adu oleh Dr. Nur Qalida Amirah, plaintif kerap memberi extension kepada house officers atas sebab-sebab yang tidak munasabah antaranya dilabelkan sebagai tidak cekap tanpa sebarang bukti, memohon cuti lama untuk urusan keluarga sebelum assessment (penilaian) selesai dan tidak habis assessment disebabkan tidak cukup masa disebabkan masa beliau terhad.
Defendan diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Vivi’Asnita Zaina’Larifin manakala plantif diwakili peguam, Syed Fadil Syed Othman, Muhammad Faiz Fadzil dan Mohd. Sufian.
Sebelum ini, pada Mei tahun lalu media melaporkan terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih dibuli di dua buah hospital di Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S.Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pada bulan Mac dan April.
“Seorang HO memberitahu telah terima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana alami tekanan emosi.
“Seorang lagi HO mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka,” katanya.-UTUSAN.