Pahang, Selangor tubuh jawatankuasa teknikal, jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Pahang, Selangor tubuh jawatankuasa teknikal, jalin kerjasama

WAN ROSDY Wan Ismail (depan, kanan) dan Amirudin Shari (depan, kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang dan Selangor menubuhkan jawatankuasa teknikal yang akan meneliti beberapa perkara melibatkan kerjasama antara dua kerajaan negeri terbabit.

Penubuhan jawatankuasa itu hasil perbincangan menerusi mesyuarat dua hala antara Pahang dan Selangor dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Wan Rosdy berkata, antara perkara dibincangkan membabitkan isu penyaluran air mentah Pahang ke Selangor, pendakian gunung di hutan simpan bersempadanan yang menyukarkan kedua-dua negeri jika berlaku perkara tidak diingini kepada pendaki.

“Turut dibincangkan penguatkuasaan bersama di sempadan berkenaan lori balak yang melebih muatan serta penandaan negeri Pahang dan Selangor yang sudah dimuktamadkan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat dua hala Kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy dalam pada itu memberitahu, kedua-dua kerajaan negeri juga akan menitikberatkan soal kawasan sempadan seperti Genting Highlands terutama dalam aspek pembangunan di situ.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menawarkan beberapa lokasi bagi kegunaan latihan di Selangor dan insya-Allah kita akan ambil peluang tawaran ini,” katanya.

Mengulas lanjut tentang mesyuarat dua hala itu, Wan Rosdy juga berkata, Pahang dan Selangor sebenarnya mempunyai banyak peluang ekonomi yang boleh diteroka dan dibina secara bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.

Beliau menambah, kedua-dua negeri juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti bidang industri, pelancongan serta pertanian dan ini boleh dicontohi bagi manfaat bersama.

“Walaupun tidak ada kata putus tapi ini adalah peringkat awal untuk kita merancang dan mengambil tindakan selanjutnya. Kita juga akan pastikan apa yang kita bincang pada hari ini dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kedua-dua kerajaan negeri mengambil peluang untuk bekerjasama demi manfaat kepada rakyat.

“Kerjasama ini melibatkan beberapa perjanjian seperti perbekalan air, seperti sempadan dan pembangunan lokaliti kawasan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.