Orang Asli mahu PM selesaikan isu ‘gangguan’ haiwan - Utusan Malaysia

Orang Asli mahu PM selesaikan isu ‘gangguan’ haiwan

Gambar bertarikh 14 Januari lalu menunjukkan seekor gajah mencari makanan di kawasan penempatan Orang Asli di Pos Mendrop, Jalan Cameron Highlands-Gua Musang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Gua Musang memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang meninjau masalah gangguan haiwan liar yang memasuki penempatan mereka susulan penerokaan kawasan hutan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, dengan campur tangan Kerajaan Persekutuan diharapkan pihak penguat kuasa lebih agresif menangani masalah haiwan liar yang berkeliaran di kampung-kampung.

“Saya bimbang, kegiatan pembalakan serta perladangan yang semakin berleluasa akan menyebabkan ekosistem haiwan liar itu terganggu.

“Kementerian berkaitan per­lu ada satu resolusi ke arah menangani krisis yang dialami oleh Orang Asli,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, sebelum ini banyak serangan binatang buas seperti harimau, gajah, beruang dan babi hutan berlaku di kawasan kampung Orang Asli sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Katanya, terbaharu seekor beruang bertindak ganas menggali kubur dan memakan mayat Orang Asli dalam kejadian di Kampung Dakoh, Pos Balar.

KRISIS

“Sebelum ini sudah banyak kali komuniti Orang Asli menye­rahkan memorandum berke­naan krisis hidupan liar kepada pihak kerajaan negeri namun tiada penyelesaian.

“Pihak kami berharap suatu masa nanti dapat bertemu sendiri dengan Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu yang melibatkan kepenti­ngan Orang Asli,” ujarnya.

Sementara itu, wakil penduduk Orang Asli Pos Balar, Kamal Alek, 38, juga meminta Kerajaan Perpaduan untuk menangani isu projek yang tidak terkawal di hutan berhampiran perkampungan Orang Asli.

Katanya, aktiviti pembalakan dan perladangan yang tidak terkawal dipercayai menjadi punca kawasan habitat haiwan liar terjejas sehingga masuk ke penempatan Orang Asli dan kawasan bandar.

“Komuniti Orang Asli percaya segala isu yang berlaku disebabkan kelulusan projek yang tidak terkawal di kawasan hutan untuk tujuan pembalakan, perladangan dan perlombongan.

“Kami berharap, isu ini dapat ditangani kerajaan baharu supaya penduduk Orang Asli tidak lagi hidup dalam ketakutan dan dapat meneruskan rutin kehidupan seperti biasa,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Dakoh, Pos Balar di sini mendakwa seekor beruang dewasa menggali kubur dan memakan mayat Orang Asli dalam kejadian dua minggu lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN