Naik ATV bersama Raja Muda Perlis ‘ronda kampung’ nikmati keindahan - Utusan Malaysia

Naik ATV bersama Raja Muda Perlis ‘ronda kampung’ nikmati keindahan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merasmikan ATV Bintong meluangkan masa hampir sejam menaiki kenderaan lasak itu ‘meronda kampung’ bersama yang lain di Bintong, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Menikmati suasana indah dan mendamaikan melalui kampung-kampung sambil melayari pemandangan memukau sawah padi menghijau, Banjaran Nakawan serta terusan dengan menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV).

Aktiviti ATV tersebut diusahakan dua beradik Shahrol Zaidi Ibrahim,52, dan Shahrol Mizan,46, bersama sahabat baik mereka, Nordeman Desa,46, di ATV Bintong di Kampung Bohor Janggus di sini.

Semalam, pengusaha ATV tersebut cukup bertuah menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merasmikan ATV Bintong seterusnya meluangkan masa hampir sejam menaiki kenderaan lasak itu ‘meronda kampung’.

Turut bersama menaiki ATV yang melalui kawasan kampung yang menyajikan pemandangan indah dan memukau itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah; Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, Shahrol Zaidi berkata, ATV berkenaan mula beroperasi sejak Ogos tahun lalu dan mendapat sambutan hebat khususnya bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Katanya, ATV berkenaan melalui laluan sejauh lima kilometer merangkumi kawasan kampung dengan pemandangan sawah padi, banjaran Nakawan dan terowong air lencongan barat.

“Kita melalui kawasan yang cantik yang menyajikan 1,001 ketenangan dan kedamaian dengan menaiki ATV ini. Alhamdulilah, Tuanku Raja Muda Perlis yang pertama kali datang ke sini (ATV Bintong) sangat berpuas hati.

“Tuanku Raja Muda Perlis bersama yang lain meluangkan masa hampir sejam menaiki ATV ini yang melalui kawasan kampung dengan pemandangan sawah padi menghijau selain kawasan bukit yang cukup indah.

“Kita juga sempat singgah di inap desa Wang Besar bagi menyaksikan keunikan pokok puding di berhampiran bukit berkenaan,” katanya.

Tambah Shahrol Zaidi, pihaknya menyediakan sebanyak 13 ATV dan akan menambah kenderaan lasak tersebut selepas ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya