Mangsa banjir di Johor meningkat semula - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Johor meningkat semula

SEBAHAGIAN kanak-kanak mangsa banjir bermain congkak di PPS di Politeknik Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali mencatatkan peningkatan menjadi 2,687 orang daripada 747 keluarga yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2,478 orang daripada 689 keluarga yang direkodkan pada tengah malam tadi.

Beliau berkata, tujuh daerah di negeri ini masih terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

“Setakat pukul 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Mersing meningkat menjadi 973 penduduk daripada 282 keluarga berbanding 803 orang daripada 236 keluarga pada tengah malam tadi.

“Turut menunjukkan peningkatan ialah mangsa banjir di Batu Pahat yang meningkat menjadi 734 orang daripada 207 keluarga berbanding 694 penduduk daripada 194 keluarga bagi tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di daerah lain tidak menunjukkan sebarang perubahan setakat ini dengan  Segamat merekodkan seramai 123 orang daripada 34 keluarga, diikuti Kota Tinggi (415), Kluang (422), Muar (5) dan Tangkak (15).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan dua daerah di negeri ini, iaitu Mersing dan Kota Tinggi di bawah amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Endau, Mersing berapa di paras bahaya manakala Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat pada tahap amaran.

“Menurut Jabatan Kerja Raya daerah, Jalan Belukar-Juling dan Jalan Endau-Penyabong di Mersing serta Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi dibuka kepada kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Putting/kawasan kebun dan Jalan Bekok, Segamat dibuka kepada kenderaan ringan sahaja.

“Sementara itu, Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya