PETALING JAYA: Malaysia memerlukan hampir sejuta pekerja asing bagi menampung keperluan industri di pelbagai sektor pasca pandemik Covid-19 sekali gus membantu memulihkan ekonomi pada tahun ini.
Sebelum pandemik Covid-19 tiga tahun lalu, tenaga asing berdaftar dalam negara dianggarkan 2.2 juta orang dan sehingga November lepas, jumlah pekerja asing semasa yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah lebih 1.3 orang.
Keperluan tenaga asing sangat mendesak terutama dalam pembinaan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan perkilangan yang menjadi sektor penting untuk merancakkan kembali ekonomi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, jumlah pekerja asing yang sah berdaftar menurun sehingga 900,000 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding 2.2 tenaga kerja asing sebelum pandemik.
Menurut beliau, pengurangan itu amat mendesak kerana keperluan pekerja asing harus diberi tumpuan yang serius sekiranya mahu memulihkan ekonomi.
Katanya, ini kerana sektor perladangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan sememangnya sukar untuk mencari pekerja tempatan.
KEKURANGAN
“Sektor pembinaan kekurangan 300,000 (pekerja asing), perladangan kekurangan 150,000 ke 200,000 orang, pertanian berkurang 20,000 hingga 30,000 orang manakala perkilangan pula kekurangan 100,000 ke 200,000 tenaga kerja.
“Sektor perkhidmatan juga berkurang 100,000 (pekerja) tetapi kebanyakan restoran tak tahu cara memohon pekerja asing. Kemungkinan keperluan mereka tinggi cuma majikan tidak tahu cara memohon.
“Oleh itu, untuk pekerja asing yang sah sekurang-kurangnya memerlukan antara 800,000 hingga satu juta orang. Ini tidak termasuk kekurangan (kekosongan) tenaga kerja yang sebelum ini diisi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah pekerja asing semasa yang memegang PLKS adalah seramai 1,391,624 sehingga 30 November lalu.
Pecahan jumlah itu mengikut sektor terlibat antaranya perkilangan (510,507 orang), pembinaan (308,886 orang), perladangan (160,728 orang) dan perkhidmatan (208,425 orang).
Ia diikuti sektor pertanian (110,598 orang), pembantu rumah asing (92,338 orang) dan perlombongan serta pengkuarian (142 orang).
KEMASUKAN
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada 21 Disember lalu memaklumkan, kemasukan 700,000 pekerja untuk pelbagai sektor sudah diluluskan.
Mengulas lanjut, Yong Hoi berkata, pengiraan keperluan tenaga kerja di negara ini bagaimanapun tidak lagi menggunakan formula yang sama.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan mengehadkan tenaga kerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada pekerja tempatan di pasaran pekerjaan negara ini.
“Sekarang tenaga kerja lebih 16 juta orang, maka maksimum tenaga kerja asing dianggarkan 2.4 juta orang. Tetapi formula itu tidak mengambil kira PATI. Katakanlah jumlah PATI dalam 2 juta orang, maka tenaga kerja asing harus kira-kira 4.4 juta orang.
“Boleh dilihat semula formula itu. Mungkin pengambilan pekerja asing boleh dibuat sekurang-kurangnya 25 peratus dari tenaga kerja tempatan.
“Pada masa sama kerajaan harus melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing. Sekarang ketat melalui banyak kerenah (birokrasi). Malah satu sistem lebih longgar dapat diwujudkan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dapat bekerja bersama mencari penyelesaian selepas mengetahui masalah ini.
Katanya, agensi Papa juga bersedia menemui kedua-dua menteri terlibat untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
“Setakat ini kita belum berjumpa lagi, mereka baru dilantik dan sudah tentu mahu membiasakan dengan pentadbiran. Jadi kami tidak mahu menggangu mereka lagi,” kata beliau.- UTUSAN










