Lelaki mabuk, tertidur selepas pecah masuk rumah dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Lelaki mabuk, tertidur selepas pecah masuk rumah dihadapkan ke mahkamah

B. Raman dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu hari ini bagi dihadapkan atas tuduhan menceroboh masuk rumah pada 23 Januari lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang lelaki yang ditangkap ketika tertidur di sebuah rumah penduduk di Bahau, Jempol tiga hari lalu tidak mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh rumah tersebut ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, hari ini.

Tertuduh, B. Raman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, tertuduh didapati telah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah penduduk tanpa kebenarannya.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum sehingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding berkenaan, Ahmad Loqman tidak menawarkan sebarang wang jaminan berikutan tertuduh mempunyai banyak rekod jenayah lampau.

“OKT (orang kena tuduh) mempunyai banyak rekod lampau di mana saya percaya ada kecenderungan untuk melarikan diri. Bukan satu (kes) tapi melibatkan narkotik dan juga jenayah. Sudah dihukum beberapa kali,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon untuk diberikan wang jaminan kerana menjaga ibunya yang sedang sakit.

Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM16,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. Majistret menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.

Kelmarin, media melaporkan seorang warga emas, Sin Kong Men, 66, terkejut apabila lelaki yang tidur di bahagian tengah rumahnya rupa-rupanya pencuri yang sedang mabuk.

Kejadian berlaku di Taman Tanjung, Bahau, di sini, kira-kira pukul 6.15 pagi, 23 Januari lalu.

Suspek dilapor mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya