KPKT cadang masukkan pembinaan PPR Larkin dalam Belanjawan 2023 - Utusan Malaysia

KPKT cadang masukkan pembinaan PPR Larkin dalam Belanjawan 2023

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR (dua dari kiri) melihat tapak cadangan pembinaan PPR di Kawasan Perindustrian Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang memasukkan cadangan pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kawasan Perindustrian Larkin dalam Belanjawan 2023.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, cadangan pembinaan PPR itu akan dipanjangkan kepada Menteri berkenaan, Nga Kor Ming dan seterusnya dibincangkan di peringkat Unit Perancangan Ekonomi (EPU). 

Beliau berharap cadangan pembinaan itu dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari ini.

“Kita berdepan cabaran kerana tempoh yang singkat memandangkan bajet dibentangkan tidak lama lagi. Sebab itu, saya memilih untuk turun melihat sendiri dua tapak ini yang sesuai bagi pembinaan PPR di kawasan bandar ini.

“Saya tidak menjanjikan apa-apa, tetapi menunjukkan kesungguhan dan komitmen kementerian yang mendapat kerjasama kerajaan negeri supaya projek ini dapat direalisasikan. Lokasi dua tapak cadangan ini  paling baik untuk rakyat tempatan berada di bandar serta menampung kepadatan penduduk setelah pembangunan ekonomi yang semakin pesat,” katanya selepas melawat tapak PPR di Kawasan Perindustrian Larkin (Dato’ Onn), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, terdapat keperluan untuk membina PPR itu, antaranya bagi menampung kepadatan di Larkin.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, beberapa perincian berkaitan cadangan pembinaan kos keseluruhan projek masih dalam penilaian.

Sementara itu, Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan Akmal Nasrullah selaku Timbalan Menteri dalam pembinaan PPR Larkin yang dicadangkan sejak tahun lalu.

“Ini satu-satunya PPR yang dimohon kerajaan negeri ke peringkat Persekutuan untuk dimasukkan dalam belanjawan. Maka, diharap hasrat ini dapat direalisasikan dalam bajet 2023 ini,” katanya sambil memaklumkan tapak cadangan pembinaan PPR Larkin membabitkan dua kawasan seluas 3.64 hektar dan 2.71 hektar di Kawasan Perindustrian Larkin yang akan menempatkan tiga blok pangsapuri lima tingkat mengandungi 434 unit kediaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.