BESUT: Lapan beradik kerugian hampir RM1 juta apabila perniagaan koperasi milik keluarga terjejas akibat banjir di daerah ini, baru-baru ini.
Mohd. Azizi Mustafa, 54, berkata, dalam kejadian pada 19 Disember lalu, Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad (Kohafas) dan dua premis perniagaan miliknya dinaiki air menyebabkan hampir 95 peratus barangan jualan rosak.
Beliau yang memiliki sebuah kedai percetakan di Jerteh berkata, dia sendiri tidak menyangka premis yang terletak di kawasan tinggi turut ditenggelami air dalam banjir tersebut.
Menurutnya, antara peralatan yang rosak ialah 150 unit mesin fotostat, alat ganti mesin, 500 kotak kertas, komputer, barangan alat tulis dan pelbagai barangan lain.
“Kebetulan beberapa hari sebelum itu, stok baharu barangan baru sampai dan semuanya rosak kerana kami tidak sempat mengalihkannya.
“Anggaran kerugian melebihi RM650,000,” katanya ketika ditemui di sini sermalam.
Azizi berkata, banjir kali ini luar biasa kerana sejak beroperasi lima tahun lalu, kedai tersebut tidak pernah dinaiki air.
“Memang agak terkejut kerana semuanya berlaku sekelip mata. Nak minta tolong adik beradik yang lain alihkan barangan pun tak sempat kerana masing-masing turut jadi mangsa.
“Ini adalah kejadian pertama, rumah kami lapan beradik semuanya serentak dinaiki air dan enam beradik pula diuji kerana perniagaan terjejas,” ujarnya.
Adiknya, Mohd. Norizzuan, 36, yang memiliki kedai menjual pelbagai barangan pembinaan pula berkata, lebih 6,000 beg simen, 200 kotak paku, 100 keping papan lapis pelbagai saiz, 70 pintu dan pelbagai barangan lain musnah dalam kejadian banjir besar itu.
Selain barang-barang katanya, enam biji lori dan tiga forklift turut ditenggelami banjir dengan kerugian dianggarkan hampir RM200,000.
“Sebelum banjir, saya kemas barang ke tempat selamat tapi semuanya musnah kerana paras air begitu luar biasa hingga mencecah 2.5 meter,” katanya.- UTUSAN










