PETALING JAYA : Ketua sindiket terbesar di Sabah antara 709 individu yang diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas menumpaskan 229 sindiket pengedaran dadah di seluruh negara sepanjang tempoh tahun lalu.
Penahanan lelaki warga tempatan itu dilakukan pada 9 September tahun lalu selepas suspek didapati menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu selama enam tahun di pusat-pusat hiburan karaoke di Kota Kinabalu dan Pantai Timur, Sabah.
Suspek berjaya menjana keuntungan mencecah puluhan juta ringgit hasil kegiatan pengedaran yang bermula pada 2008 sehingga 2010 dan beralih pada 2018 hingga tahun lalu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, modus operandi yang digunakan adalah dengan mendapatkan bekalan syabu dan dadah untuk hiburan dari pengedar di Semenanjung Malaysia.
Kata sumber itu, suspek menggunakan kurier pengangkutan bas awam untuk mengedar dadah dari Kota Kinabalu ke Pantai Timur, Sabah.
“Selain itu, suspek juga dipercayai telah memasarkan bekalan dadah syabu kepada pengedar tempatan untuk di seludup ke Indonesia dan Filipina melalui jalan laut,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, dengan tertangkapnya ketua sindiket dadah ini sekali gus berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, minuman jus yang mengandungi dadah di pusat-pusat hiburan.
Sementara itu, JSJN menerusi laman sosial rasmi Facebook mereka memaklumkan, JSJN terus melakar kejayaan dengan penahanan seramai 163,740 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983 sepanjang tempoh sama tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, daripada jumlah tersebut sebanyak 4,305 kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tangkapan sebanyak 6,612 orang.
“Seramai 1,261 individu pula ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“Selain itu sebanyak 15 buah makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan lima tangkapan ke atas ahli kimia,” ujar kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, sebanyak 18.4 tan pelbagai jenis dadah dan 3,437 liter pelbagai jenis cecair dadah turut dirampas.
“Sebanyak 106.4 tan daun ketum dan 52,886 liter air ketum yang membawa nilai rampasan sebanyak RM461 juta telah dirampas,” jelasnya. – UTUSAN










