Kekasih diberkas edar dadah di Kuantan - Utusan Malaysia

Kekasih diberkas edar dadah di Kuantan

WAN MOHD. ZAHARI Wan Busu (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas susulan serbuan ke atas sepasang kekasih di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sepasang kekasih diberkas di sebuah hotel bajet di sini dipercayai terlibat dalam aktiviti sindiket pengedaran dadah sekitar daerah ini.

Mereka diberkas pada 13 Januari lalu antara pukul 12.30 hingga 1 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, tangkapan itu membawa penemuan aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan mereka bermula awal tahun lalu.

“Pihak polis kemudiannya menjumpai tempat penyimpanan dadah di sebuah bilik sewa di Panching.

“Turut ditemukan sepucuk pistol model zoraki M 906-TD mengandungi lima butir peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, polis merampas dadah jenis ganja sebanyak 1,967.1 gram, dadah jenis syabu 279.1 gram dan pil yaba 14.35 gram yang keseluruhannya rampasan dianggarkan bernilai RM41,635.

Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1,525 orang penagih dan pihak polis sedang mengesan saki baki ahli sindiket terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki yang berusia 25 tahun merupakan seorang penganggur mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek wanita berusia 23 tahun pula mempunyai rekod jenayah narkotik yang mana hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati keduanya negatif dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan untuk mengesan sama ada mereka ini bergerak secara sendiri atau mempunyai kumpulan.

“Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1953 di mana jika disabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

“Polis turut mengambil tindakan di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM33,800 iaitu kereta Proton Iriz bernilai RM32,800 dan wang tunai bernilai RM1,000.

“Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta sebanyak RM75,435,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya