Kejar jawatan, isu poster boy punca UMNO kalah PRU15  - Utusan Malaysia

Kejar jawatan, isu poster boy punca UMNO kalah PRU15 

Datuk Zahida Zarik Khan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ghairah mengejar jawatan dan isu poster boy antara faktor kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

Mengakui kelemahan tersebut, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, faktor berkenaan menjadikan UMNO bercelaru dengan naratif yang dimainkan, sekali gus menjadi senjata untuk pihak lawan mengatur strategi kemenangan pada PRU15. 

“Naratif penceritaan kita menjelang PRU15 bersimpang-siur. Naratif kita sebagai parti yang mampu mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga  kejayaan di Melaka dan Johor semakin kabur dengan naratif lain yang pelbagai. 

“Ini termasuk isu siapakah yang patut menjadi poster boy? Kita dilihat lebih ghairah dalam mengejar jawatan-jawatan dalam kerajaan sekiranya kita menang. Kita dilihat lebih banyak membuat persiapan pemilihan dalam parti daripada persiapan PRU15.

“Semua mengandaikan menang di Melaka dan Johor menjadikan jaminan menang keseluruhan PRU15. Ini termasuk dalam kalangan mereka yang tidak nampak muka ataupun datang sekadar melepaskan batuk di tangga ketika kita semua bertarung  dalam PRN. Kita lebih banyak mencatur setelah menang siapa orang dia, siapa orang kita. Naratif kita menjadi celaru,” kata beliau  dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2022 bagi sayap Puteri di Pusat Dagangan Kuala Lumpur WTCKL di sini, hari ini. 

PENEMBAK TEPAT

Selain itu,  beliau turut mengakui UMNO tidak mempunyai ‘penembak tepat’ bagi mencari kelemahan parti-parti lain, sebaliknya hanya mengasak presiden parti meletak jawatan. 

“Masihkah kita ingat mereka pernah menggelarnya maha firaun tetapi memeluknya apabila memerlukan. Di zaman Tun Abdullah Badawi atau  Pak Lah beliau juga diserang peribadinya. Begitulah di zaman Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ingat, tukarlah berapa kali pemimpin pun, pemimpin itu akan tetap menjadi sasaran lawan.

“Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap yang paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karakter dan mencipta fitnah. UMNO hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karakter mereka satu-persatu.

“Kekuatan mereka pula walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pulak kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita,” kata Zahida.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.