JPJ keluar 201 notis saman, kesemua kesalahan dikesan guna dron - Utusan Malaysia

JPJ keluar 201 notis saman, kesemua kesalahan dikesan guna dron

PEMANTAUAN dengan penggunaan dron oleh pihak JPJ Negeri Sembilan telah berjaya mengesan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya sepanjang Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 yang bermula 18 Januari lalu-GAMBAR/IHSAN JPJ NEGERI SEMBILAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 201 notis saman telah dikeluarkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang pelaksanaan Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 yang bermula 18 Januari lalu sehingga hari ini.

Kesemua kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya itu dikesan pihak JPJ menerusi strategi penggunaan dron setelah mendapat kebenaran dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak dua unit dron telah digunakan pihaknya iaitu di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan.

Di jalan utama pula jelasnya adalah bagi mengesan kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah dan juga memotong barisan. 

“Kesemua notis sama yang dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti gagal mematuhi lampu isyarat dan memotong barisan.

“Sekiranya didapati pemandu terbabit melakukan kesalahan, notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta  Pengangkutan Jalan 1987 akan diserahkan kepada pemilik kenderaan untuk mengemukakan pemandu yang memandu kenderaan terbabit ketika kesalahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanif Yusabra dalam pada itu menjelaskan, sepanjang operasi kali ini, hanya dua orang pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron berkenaan.

Tambahnya, penggunaan dron berkenaan dilihat berkesan daripada segi penguatkuasaan dan lebih mudah mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

“Selain menjimatkan sumber tenaga kerja, penggunaan dron yang bersifat fleksibel dan kompak amat membantu dalam mengesan kesalahan pemandu yang degil dan suka melakukan kesalahan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas serta punca kemalangan khususnya di musim perayaan.

“JPJ Negeri Sembilan merancang untuk memperluaskan lagi penggunaan dron dalam memantau pematuhan peraturan dan undang-undang berkaitan jalan raya dengan pertambahan jumlah dron dan pegawai JPJ yang terlatih mengendalikan dron,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya