Johor sasar tarik lapan juta pelancong - Utusan Malaysia

Johor sasar tarik lapan juta pelancong

RAVEN KUMAR (kanan) meletakkan tapak tangan atas tablet dipegang Suhairi Hashim sebagai gimik pelancaran Kalendar Pelancongan dan Pelan Strategik Pelancongan Johor 2022–2027 di Hotel Fraser Place, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyasarkan seramai lapan juta pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Johor pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar yakin sasaran tersebut mampu dicapai dengan pelbagai promosi serta acara yang akan diadakan sepanjang tahun serta dengan pembukaan semula industri pelancongan di seluruh dunia.

“Kita yakin pada 2023 akan terima kunjungan daripada lapan juta pelancong.  Walaupun pada awalnya kita sasarkan lima juta, tetapi Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi letakkan sasaran lebih tinggi, iaitu lapan juta. Kita yakin mampu capai sasaran tersebut.

“Lagipun ketika ini, banyak negara seperti China, India, negara Arab termasuk negara-negara di Asia Tenggara sudah mula ‘menggerakkan’ semula industri pelancongan masing-masing.

“Oleh itu, kita kena tumpukan terhadap produk-produk unik yang kita ada untuk tarik mereka (pelancong), misalnya di Johor kita ada Legoland, taman tema di Desaru selain alam semula jadi di Tanjung Piai, Gunung Ledang.

“Kita juga bakal buka Muzium Diraja Johor pada suku kedua tahun ini dan sedang menunggu perkenan daripada Tuanku Sultan Johor untuk berbuat demikian,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelancongan Negeri Johor 2023 serta melancarkan Kalendar Pelancongan dan Pelan Strategik Pelancongan Johor 2022–2027 di Hotel Fraser Place, Puteri Harbour, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim dan Ketua Perunding, Pelan Perancangan Strategik Pelancongan Johor 2023-2027, Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor.

Raven Kumar berkata, bagi menarik lebih ramai lagi pelancongan, Tourism Johor akan mengadakan pelbagai promosi di peringkat domestik dan antarabangsa, khususnya ke Eropah, Timur Tengah, China dan ASEAN.

Sementara itu, beliau berkata, biarpun dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan, pihaknya turut menitikberatkan aspek keselamatan, terutamanya melibatkan kawasan-kawasan pelancongan di kawasan tanah tinggi.

“Sudah tentu kita akan berikan perhatian serius terhadap perkara ini.  Kita bukan sekadar buka dan biarkan pusat-pusat pelancongan ini beroperasi,” katanya. _ UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya