PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah wajar dibubarkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan sekiranya situasi terus bergolak dengan ada cubaan menumbangkan kerajaan negeri.
Didakwa terdapat gerakan pihak-pihak tertentu yang kononnya memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan berkata, situasi politik di Sabah berbeza dari Sarawak kerana negeri itu tiada parti dominan.
Beliau berkata, meskipun mempunyai dua gabungan yang hampir sama, kesetiaan antara parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih kuat dan kukuh berbanding parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, ini kerana rasa setia dalam GPS lebih kuat berdasarkan gandingan pakatan yang lama berbanding GRS yang baru ditubuhkan dengan parti-parti kecil yang tidak mempunyai sejarah antara satu sama lain.
“Politik memang mencari kuasa, jadi saya tidak harian dalam situasi sekarang semua pihak merasakan ada sedikit sokongan…cuba tarik orang itu orang ini kerana mahu naik berkuasa.
BUBAR
“Cara terbaik bubar semula dan laksana pilihan raya supaya ada pihak mendapat jumlah kerusi mantap membawa kepada pemerintahan lebih stabil, jadi boleh tumpu kepada pembangunan dan bukannya bimbangkan rancangan menjatuhkan (kerajaan negeri).
“Ini supaya rakyat menentukan. Jadi masalahnya apabila ada calon itu menang daripada satu pakatan, tetapi meninggalkan pakatan itu dan bergabung dengan orang lain…seolah mengkhianati mandat undi pemilih yang mengundi calon itu untuk berada dalam parti (semasa dipilih),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dakwaan mengenai gerakan menubuhkan kerajaan baharu di Sabah ditimbulkan beberapa kali sejak pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan keluar daripada parti berkenaan pada 10 Disember lalu dan kekal sebagai ahli GRS.
Susulan itu, pemimpin GRS sedia membuktikan keabsahan sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya perlu berbuat demikian.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang, termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Ketika ini, blok kerajaan yang dianggotai GRS dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri masih berada dalam kedudukan selesa dengan 53 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah, termasuk enam ADUN Dilantik serta ADUN yang mesra kepada kerajaan.
Blok pembangkang pula hanya mempunyai 26 kerusi namun, tujuh pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah telah menyatakan sokongan terhadap Hajiji untuk terus mentadbir Sabah sehingga habis penggal.- UTUSAN










