Isu ayam, telur: Kerajaan perlu ada kuasa kawal industri secara total - Utusan Malaysia

Isu ayam, telur: Kerajaan perlu ada kuasa kawal industri secara total

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah menurunkan harga siling ayam tidak membantu membaik pulih industri ternakan secara menyeluruh, sebaliknya bersifat sementara.

Malah, ia akan memberi ke­san buruk kepada pemain industri ternakan peringkat hiliran termasuk pemborong dan peruncit kecil-kecilan.

Sumber industri ternakan ayam yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, tindakan mengkaji dan menurunkan harga ayam hanya melibatkan sektor hiliran industri, namun tidak merungkai masalah pe­ringkat huluan ekoran kegagalan me­nubuhkan lembaga khusus untuk mengawal industri ayam dan telur secara menyeluruh.

Kata sumber, ini jelas dilihat apabila kerajaan masih tiada mekanisme khusus untuk menyelia bekalan serta harga induk ayam grand parent stock (GPS), anak ayam day old chick (DOC), makanan ayam serta ubatan.

“Apa halatuju kerajaan sebenarnya? Di pihak pengguna, kita cuma membeli apa ditawarkan pasaran. Tetapi isunya sekarang, kalau sebagai penjual di peringkat runcit, mestilah mereka menyeru supaya harga ayam dan telur diapungkan. Tapi, adakah ini menyelesaikan masalah ayam dan telur?

“Jika diturunkan harga ayam di peringkat runcit juga, adakah ini menyelesaikan masalah, sedangkan harga ayam di pasaran sebenarnya ditentukan oleh dua faktor utama iaitu makanan ayam dan harga anak ayam DOC. Ini membabitkan pemain industri peringkat huluan , bukannya hiliran. Adakah kerajaan boleh kawal bekalan dan harganya? Sudah tentu tidak.

“Soalnya, dengan menurun­kan harga di peringkat hiliran iaitu peringkat runcit, tapi gagal menyelia dan mengawal dengan undang-undang yang lengkap dalam soal bekalan GPS, makanan serta DOC di peringkat hu­luan , isu ayam dan telur akan sentiasa berterusan,” kata sumber.

HARGA SILING

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan sedia mengkaji semula harga siling ayam di peringkat runcit ekoran bekalan dikatakan sudah pulih.

Sumber berkata, bukti jelas kerajaan gagal mengawal harga anak ayam DOC apabila harga bekalan itu turun naik secara drastik seolah-olah ditentukan kartel dan kerajaan tiada kuasa mengawalnya.

“Saya merujuk kepada laporan Jabatan Perkhidmatan Ve­terinar (DVS) bertajuk Harga Daging Ayam 2020. Setakat ini, difahamkan laporan terkini DVS adalah pada 2020. Dalam laporan itu, jelas menunjukkan pada Mei 2020, harga anak ayam DOC cuma 80 sen seekor. Tapi pada Julai 2020, harganya melambung RM2.50 seekor.

“Soalnya, siapakah yang menentukan harga anak ayam tersebut? Bukan kerajaan, sebab harganya ditentukan oleh persatuan ternakan. Buktinya? Boleh rujuk laman sesawang Kementerian Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan (MAFS).

“MAFS mencatatkan nota bahawa harga ladang yang diperoleh bersumberkan daripada sebuah persatuan ternakan. Adakah kerajaan dikawal kartel, sampai harga peringkat ladang pun ditentukan kartel dan bukannya kerajaan?” soalnya.

Utusan Malaysia difahamkan, kali terakhir MAFS mengemaskini harga ayam dan anak ayam adalah 2020, dan laporan itu diakses di laman sesawang https://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/2951.
Sementara itu, satu sumber penternak wilayah tengah pula meluahkan bimbang terhadap kenyataan kerajaan untuk mengkaji semula harga siling ayam di peringkat runcit.

“Sudahlah import ayam dibuka seluas-luasnya, sekarang import telur pula. Lagi membimbangkan apabila ada negeri berbeza mahu import telur dari negara lain pula selain India.

“Kami penternak ini, mahu berundur (gulung tikar) pun tidak boleh, mahu meluaskan operasi pun tidak mampu. Apabila kerajaan mengumumkan dasar sebegini, lagilah parah. Industri jadi tak tentu hala sebab perniagaan telur dan ayam di peringkat domestik terganggu,” kata sumber.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN