KUALA LUMPUR: Pemarkahan rendah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) yang dibentangkan dalam sesi pemukiman jemaah menteri, Ahad lalu dibuat berdasarkan sentimen rakyat berkaitan isu bekalan telur termasuk ayam.
Oleh itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, apa jua perancangan daripada pihak kementerian seharusnya mengikut kehendak dan kemahuan rakyat.
Menurut beliau, usaha kerja kementerian tidak sepatutnya mengikut agenda sendiri tetapi ia harus ke arah memberi manfaat kepada rakyat.
“Perancangan inisiatif seharusnya berdasarkan apa yang rakyat mahu, dan bukan sekadar apa yang diinginkan oleh kementerian,” kata beliau semalam.

Zuki berkata demikian bagi mengulas kenyataan berhubung MAFS yang mendapat markah paling rendah.
Terdahulu, Menterinya, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak terkejut MAFS memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam seperti didedahkan itu.
Kata Mohamad, pemarkahan tercorot itu adalah berikutan masalah bekalan telur termasuk ayam sudah menjadi tumpuan negara sejak setahun lalu.
Mohd. Zuki berkata, sentimen terhadap sesuatu kementerian diterjemahkan menerusi media dengan memberi gambaran awal mengenai prestasi kementerian berkenaan kepuasan hati rakyat.
Kata beliau, perkara itu turut dijadikan sebagai penanda aras untuk memuktamadkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang menteri berkenaan.
“Format pemarkahan sebenar penilaian KPI masih dalam perbincangan dan jemaah menteri akan berbincang lanjut mengenainya.
“Bagaimanapun, analisis itu penting untuk memberi gambaran awal prestasi kementerian berdasarkan sentimen sebenar kepuasan rakyat sebagai asas tanda aras untuk memuktamadkan KPI menteri,” kata beliau.- UTUSAN











