Guna satelit tempatan lebih selamat - Utusan Malaysia

Guna satelit tempatan lebih selamat

Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang mendengar penerangan mengenai satelit sempena Hari Kesedaran Satelit 2023 di Kompleks Haigate ATM di ibu negara semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem kese­lamatan dan pertahanan negara yang berpandukan satelit perlu menggunakan teknologi tempatan tanpa bergantung teknologi luar bagi memastikan semua maklumat yang disalurkan selamat.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Ts. Shamsuddin Ludin berkata, penggunaan teknologi satelit dalam sistem pertahanan sangat penting untuk diteroka berikutan banyak negara terutamanya kuasa-kuasa besar dunia sedang bergerak ke arah itu.

Menurut beliau, seiring Malaysia bergerak ke arah negara maju dalam bidang teknologi angkasa lepas, unjuran keselamatan tidak boleh diabaikan termasuklah ancaman penggodaman rangkaian komunikasi ATM daripada anasir luar.

“Menurut perspektif analisis pertahanan dunia, berlaku peningkatan keupayaan persenjataan dalam penggunaan satelit. Sejauh mana ia dilaksanakan, kita tidak arif memandangkan semua pihak bercerita mengenai sejagat yang aman.

MAJU

“Tetapi perkara itu pasti­nya diperhatikan badan-badan dunia dan kita sebagai negara maju, penting untuk menggunakan teknologi satelit yang selamat, terma­suklah dalam tindakan penyaluran maklumat dan sistem kese­lamatan,” kata beliau selepas majlis pelancaran program Hari Kesedaran Satelit Tahun 2023 di Kompleks Haigate ATM semalam.

Program bertemakan Komunikasi Satelit Untuk Sambungan Strategik dua hari iaitu 17 dan 18 Januari dirasmikan Ketua Staf Markas ATM (KS MK ATM), Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Beliau berkata, program itu bertujuan untuk mewujudkan platform bagi ekosistem dan komuniti pakar satelit dalam menggalakkan kerjasama antara semua pihak berkepen­tingan satelit termasuk agensi kerajaan, swasta, pemain industri dan ahli akademik.

“Objektif program memberi kesedaran melalui sesi perbincangan ilmiah berbentuk forum oleh panel pakar dalam domain satelit daripada agensi-agensi kerajaan dan industri tempatan.

“Perbincangan profesional pelbagai entiti penting sebagai penyediaan holistik serta ke arah mendapat input global dalam bidang satelit,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN