Dua ahli perniagaan tidak mengaku salah buat tuntutan palsu Perkeso - Utusan Malaysia

Dua ahli perniagaan tidak mengaku salah buat tuntutan palsu Perkeso

DUA tertuduh (baju putih) didakwa atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM43,600, tiga tahun lalu di Mahkamah Seksyen Kuantan, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM43,600, tiga tahun lalu.

Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohammed Ismail R. P. Mohd. Ibrahim, 62, membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh membuat tuntutan secara dalam talian bagi mendapatkan insentif pengambilan pekerja melalui Program Penjana 1.0 yang dilaksanakan kerajaan melalui Perkeso pada 5 dan 6 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengemukakan permohonan dengan butiran palsu yang mengandungi 17 senarai nama pekerja syarikat Is Catering Sdn. Bhd. bagi mendapatkan insentif berjumlah RM27,200 sedangkan individu terbabit tidak pernah memohon kerja di syarikat berkenaan.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama apabila sekali lagi memberikan 10 senarai nama dengan niat mendapatkan insentif RM16,400.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, manakala Arabath Ali diwakili peguam Venugopal Narasiman dan Mohammed Ismail diwakili R. Maran.

Rifah Izzati meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 setiap seorang beserta syarat tambahan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Ketika prosiding, Venugopal Narasiman dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan ikat jamin berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan empat orang anak.

Sementara, R. Maran pula menyatakan anak guamnya mempunyai lima tanggungan termasuk ibunya yang uzur dan pendapatan hanya RM3,000 sebulan.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan RM18,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan selain syarat tambahan menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya