Dakwaan penyelewengan Marris: Putra Melaka buat laporan polis

Dakwaan penyelewengan Marris: Putra Melaka buat laporan polis

LAILA Norinda Maon membuat laporan berhubung isu pemberian konsesi di bawah Marris di Balai Polis Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka membuat satu laporan di Balai Polis Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 4.26 petang semalam, meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dengan terperinci sebuah klip video berdurasi lima minit 19 saat yang tular dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu, berkenaan unsur penyelewengan membabitkan pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Ketua Wiranita Putera Melaka, Laila Norinda Maon berkata, beliau terpanggil membuat laporan berkenaan selepas menonton video tersebut yang dengan jelas mengaitkan nama seorang pemimpin di negeri ini dengan isu tersebut.

“Saya buat laporan itu atas dasar dua perkara yang pertama saya mewakili Putra Melaka menyokong video berkenaan yang menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu tersebut.

“Selain itu, saya sebagai rakyat Melaka juga tidak puas hati kenapa apabila rakyat telah memberi mandat kepada pemimpin tersebut hingga membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Sepatutnya jawatan yang mereka sandang itu adalah untuk membantu rakyat dan bukannya untuk menekan rakyat, justeru saya meminta PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu berkenaan, ada kemungkinan berlaku rasuah atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, malam tadi.

Laila Norinda yang juga Ahli Dewan Tertinggi Putra menambah, video berkenaan turut menyebut bahawa dana Marris yang sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan telah ‘dilencongkan’ kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Saya mohon pihak berkuasa memandang serius dakwaan tersebut dan tindakan undang-undang perlu diambil jika ia melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Putra membantah sekeras-kerasnya jika ada pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri dan menggunakan harta kerajaan untuk kepentingan diri mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN