Boleh bawa usul tergempar dalam PAU

Boleh bawa usul tergempar dalam PAU

MUSTAPHA YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan atau sebaliknya, boleh dibahas secara tergempar dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 11 hingga 14 Januari ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, bagaimanapun usul itu perlu mendapat soko­ngan majoriti daripada perwakilan sebelum boleh dibahaskan.

“Contohnya, saya perwakilan dan saya bangun cadangkan satu usul tergempar iaitu supaya (jawatan) Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Kemudian kalau usul di­sokong majoriti, maka boleh­lah dibahaskan, kalau tidak disokong batal begitu sahajalah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mustapha berkata, sebarang usul tergempar perlulah dikemukakan sebelum persidangan berlangsung dan tidak boleh dibangkitkan di pertengahan persidangan.

Katanya, perkara berkenaan boleh dibangkitkan perwakilan selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa PAU.

“Usul tergempar hendaklah dikemukakan sebelum persidangan berlangsung iaitu selepas ucapan dasar Presiden. Sebelum agenda lain diteruskan usul itu dahulu kena dikemukakan, ia tidak boleh di tengah-tengah,” katanya.

Ditanya sama ada bakal terdapat usul tergempar pada PAU kali ini, beliau tidak melihat perkara itu akan dibangkitkan perwakilan.

“Saya fikir tidak. Satu usul hendaklah dirancang betul-be­tul dan tidak boleh dibuat secara mengejut macam itu, kena guna cara yang betul,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilapor menyerahkan kepada perwakilan ketika PAU akan datang bagi menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO boleh ditan­dingi atau tidak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN