MELAKA: Beberapa hotel bertaraf empat dan lima bintang di negeri ini mengehadkan jumlah tempahan bilik untuk pelancong dari China sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.
Pemilik hotel tidak menghalang pelancong China menginap tetapi mewajibkan mereka menunjukkan sijil vaksinasi, rekod kesihatan serta keputusan ujian saringan Covid-19.
Pemilik Hotel La Crista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pihaknya hanya menerima pelancong China yang bersetuju mengambil pakej paling mahal sahaja.
“Beberapa aspek turut diambil kira seperti mempunyai sijil vaksinasi, tidak mempunyai rekod gejala demam atau mengalami batuk sebelum tiba di Malaysia.
“Setakat ini kami belum menerima sebarang tempahan daripada pelancong China, jika ada nanti kita tidak ambil ramai cuma yang terpilih sahaja berdasarkan pakej mahal yang ditempah. Ini dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dianggarkan lebih 1,400 pelancong China masuk ke negara ini dalam tempoh sehari selepas kelonggaran sekatan perjalanan pelawat dari negara itu.
Jumlah itu diperoleh berdasarkan purata 14 penerbangan tiba dan keluar yang direkodkan dalam sehari membabitkan pergerakan pelawat dari China ke Malaysia.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Ames, Nurashiken Zainal Abidin berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang tempahan daripada warga negara tembok besar itu, meskipun pintu sempadannya telah dibuka pada 8 Januari lalu.
Katanya, sebelum pandemik Covid-19, hotel itu antara yang menjadi pilihan kelompok berkenaan dengan kapasiti antara dua hingga tiga bas sehari.
“Sekarang ini kita hadkan kedatangan mereka yang ingin menginap di sini dan peraturan ketat kita lakukan seperti disarankan kerajaan,” katanya. – UTUSAN









