Bekas penyelia ladang didakwa eksploitasi lima sekeluarga sebagai buruh paksa - Utusan Malaysia

Bekas penyelia ladang didakwa eksploitasi lima sekeluarga sebagai buruh paksa

L. Jaya Seelan (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi berdepan lima pertuduhan memperdagangkan lima individu bagi tujuan eksploitasi buruh paksa di sebuah ladang kelapa sawit di Rompin, Jempol antara tahun 2008 sehingga November 2021.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas penyelia ladang hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini atas lima pertuduhan memperdagangkan lima individu bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.

Tertuduh, L. Jaya Seelan, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Tertuduh didakwa memperdagangkan mangsa, S. Veerasamy, 46, dan isteri, A. Rajeswari, 39, dan dua orang anak mereka, V. Shasikala, 19, dan  V. Anbarasi, 22, dan menantu, P. Aridasan, 30, yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa ladang untuk menyelesaikan hutang.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah ladang kelapa sawit, di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan antara tahun 2008 sehingga bulan November 2021.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, M. Gobinathan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin beserta dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 13 Februari depan.

Difahamkan, kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan berasingan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dalam kenyataan memaklumkan, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki pada 17 November 2021 yang mendakwa dia dan keluarga telah dipukul dan dipaksa bekerja serta tidak dibenarkan oleh majikan untuk keluar dari kawasan ladang di sekitar Rompin, Jempol.

Pada 26 Mac 2022, sepasukan polis dari Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman telah menyelamatkan mangsa dan enam orang lagi ahli keluarga yang bekerja di ladang tersebut.

Kemudian pada keesokan harinya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menangkap seorang lelaki yang merupakan suspek berumur 51 tahun untuk siasatan lanjut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.