Banjir tidak rosakkan infrastruktur pelancongan Johor - Utusan Malaysia

Banjir tidak rosakkan infrastruktur pelancongan Johor

K. RAVEN KUMAR (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen tentang bengkel 'Responsible Tourism' di sebuah hotel di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini tidak menyebabkan kerosakan infrastruktur yang boleh menjejaskan sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, pihaknya tidak menerima laporan tentang kerosakan infrastruktur pelancongan negeri, bukan sahaja tahun ini malah tahun-tahun terdahulu.

“Ketika musim tengkujuh, sektor pelancongan sedikit perlahan, khususnya di daerah-daerah seperti Mersing apabila banyak aktiviti percutian laut terpaksa ditangguhkan.

“Tetapi setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan berlaku kerosakan infrastruktur melibatkan sektor pelancongan akibat banjir ketika musim tengkujuh, tahun ini dan tahun-tahun lepas juga tiada,” katanya selepas menghadiri Bengkel Responsible Tourism, di sini hari ini.

Raven Kumar yakin sasaran seramai lapan juta pelancong asing mengunjungi negeri ini pada tahun ini dapat dicapai biarpun dengan situasi banjir yang melanda beberapa daerah ketika ini.

“Ketika sasaran itu dibuat, pelbagai faktor telah diambil kira, termasuk musim tengkujuh dan lain-lain. Jadi, kita yakin sasaran tersebut boleh dicapai.

“Ini kerana walaupun terdapat aspek pelancongan yang mungkin terjejas akibat banjir, tetapi banyak lagi sektor pelancongan lain yang masih kekal beroperasi ketika ini, termasuk pusat beli-belah dan taman tema,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN