Banjir di Johor semakin pulih, tinggal empat daerah masih terjejas - Utusan Malaysia

Banjir di Johor semakin pulih, tinggal empat daerah masih terjejas

MANGSA banjir mengisi masa lapang dengan bermain congkak di PPS Politeknik Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan menjadi 2,157 orang daripada 607 keluarga masih ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan selepas seramai 409 mangsa daripada 113 keluarga di daerah terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, hanya empat daerah masih terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat, manakala Kluang dan Tangkak pulih sepenuhnya.

“Tiga PPS di Kluang yang menempatkan 422 penduduk daripada 117 keluarga ditutup antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang tadi.

“PPS itu sebelum ini menempatkan penduduk dari Kampung Sri Lukut, Kampung Tanah Runtuh dan Kampung Contoh di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang Batu 28, Dewan Pusat Banjir Jakoa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.

“Turut ditutup ialah PPS di Balai Raya Kampung Durian Chondong, Tangkak yang menempatkan lima penduduk daripada sebuah keluarga, tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, mangsa di Kota Tinggi  mencatatkan penurunan menjadi 340 orang daripada 86 keluarga berbanding 422 penduduk membabitkan 105 keluarga, semalam.

Mangsa banjir di Segamat dan Mersing, masing-masing kekal dengan 92 orang daripada 28 keluarga dan 830 penduduk melibatkan 243 keluarga.

“Situasi berbeza di Batu Pahat apabila jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 895 orang daripada 250 keluarga berbanding 786 penduduk membabitkan 224 keluarga,” katanya. 

Sementara itu, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah, iaitu Mersing dan Kota Tinggi di bawah amaran hujan berterusan tahap waspada.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Endau, Mersing berapa pada paras bahaya, manakala Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat  pada tahap amaran.

Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya