Aktivis politik sujud syukur bebas tuduhan amang seksual anak - Utusan Malaysia

Aktivis politik sujud syukur bebas tuduhan amang seksual anak

SEORANG aktivis politik melakukan sujud syukur selepas dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan amang seksual terhadap anak perempuan dan anak tirinya pada tahun 2018 dan 2019.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas tiga tahun, seorang aktivis politik akhirnya dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini daripada pertuduhan amang seksual terhadap anak perempuan dan anak tirinya pada tahun 2018 dan 2019.

Lelaki berusia 39 tahun itu juga dilihat melakukan sujud syukur di luar pekarangan mahkamah sebaik sahaja Hakim, Datin Surita Budin memutuskan demikian.

Surita dalam penghakimannya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 bagi kedua-dua kes.

“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan sebelum ini,” katanya dalam prosiding keputusan kes di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual terhadap anak tirinya yang ketika kejadian berusia 16 tahun manakala anak perempuannya berusia enam tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada tahun 2018 dan 2019 di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Senawang, di sini dan didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sementara itu, tertuduh yang ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur atas keputusan mahkamah itu selepas berdepan tekanan teruk kerana didakwa atas kesalahan yang tidak dilakukannya. 

“Pada tahun pertama, saya berdepan kesan psikologi yang teruk kerana fitnah ini telah memberi kesan buruk kepada saya sehingga hilang pekerjaan dan perniagaan bertambah teruk. 

“Terima kasih kepada keluarga dan peguam yang berhempas pulas memperjuangkan kes saya. Hari ini hakim telah membuat keputusan adil serta berpihak kepada saya,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya