Aizzuddin berkelakuan aneh sebelum terjatuh - Utusan Malaysia

Aizzuddin berkelakuan aneh sebelum terjatuh

MOHD. HAIRI MAD SHAH (tengah) mendengar Ruhayati menceritakan kejadian yang menimpa anaknya di Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu kepada budak lelaki yang terjatuh dari tingkat 11 Rumah Pangsa Larkin, di sini kelmarin berkelakuan aneh sebelum kejadian itu.

Ruhayati Rahmat, 56, berkata, pada hari kejadian, anaknya, Muhammad Aizzuddin Abdul Hadi, 12, mengalami demam panas dan tidak bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri, di sini.

Walaupun sedang cuti sakit, namun anak bongsu daripada dua beradik itu tetap mahu memakai baju pendidikan jasmani berserta stokin ketika berehat di dalam biliknya.

Katanya, selepas pulang dari klinik dan pasar, anaknya yang berasa kesejukan itu mahu berehat di dalam bilik tidur, manakala dia di ruang tamu.

“Selepas terjaga dari tidur kira-kira pukul 7 malam, dia berlari ke bilik air dan masuk semula ke bilik tidur berulang kali sehinggalah saya menegur perbuatannya itu seperti kena sampuk.

“Zudin yang tidak berkata apa-apa dilihat menanggalkan stokin, saya fikir dia mahu sambung berehat semula. Tidak lama kemudian, jiran bawah rumah datang mengetuk pintu rumah memberitahu Zudin terjatuh,” katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Larkin, di sinihari ini.

Hatinya luluh apabila mendengar kata-kata jirannya bagaikan tidak percaya kerana anak bongsunya itu terjatuh dari rumah dan bergegas mencari anaknya di setiap ruang di rumah itu namun tidak menjumpainya.

Dia berlari turun tangga ke bahagian bawah untuk melihat sendiri anaknya yang dikatakan jatuh di atas bumbung kedai runcit di bawah blok B itu setelah tidak kelihatan ketika menjenguk dari balkoni rumah.

“Saya sungguh sayu melihat dia dalam keadaan terbaring di atas bumbung itu. Apabila suami, memanggil namanya, dia masih mendengar dan tercari-cari suara yang memanggilnya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah berkesempatan mengunjungi Ruhayati dan suaminya, Abdul Hadi Mat Salleh, 50, di kediaman mereka.

Mohd. Hairi turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada pasangan tersebut selain berharap mereka reda dengan ketentuan takdir itu.

Mangsa pada mulanya dilaporkan mengalami patah tangan kiri selepas terjatuh dari tempat tinggi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 malam semalam ketika menerima rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya