JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 5,455 orang ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, mereka yang terjejas terdiri daripada 1,508 keluarga di tujuh daerah yang terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.
“Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,801 penduduk ditempatkan di 21 buah PPS dibuka diikuti Kluang dengan 1,256 mangsa, Mersing (1,153), Kota Tinggi (738), Batu Pahat (272), Muar (217) dan Pontian (18),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurutnya, antara PPS yang dibuka ialah di Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Dewan Pusat Banjir Jakoa, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau-Rompin.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya, iaitu Mersing dan Kota Tinggi, manakala daerah Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dalam tahap buruk.
Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dalam kategori bahaya, iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau, manakala empat jalan telah ditutup sementara, iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat, Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu, Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh. – UTUSAN