PETALING JAYA: Sebanyak 50,000 warga asing yang tiba di semua pintu masuk negara ditolak kemasukan (NTL) mereka ke negara ini setakat ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang tidak dibenar masuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi penerbangan berikutnya.
Menurut beliau, penolakan itu dilakukan selepas warga asing itu cuba masuk ke negara ini dengan tidak mematuhi syarat terutama untuk tujuan bekerja secara tidak sah.
“Apa yang kami lakukan ini adalah tindakan yang sama dilakukan oleh negara-negara asing lain lain.
“Mereka yang masuk ke negara ini perlu mematuhi beberapa syarat antaranya menunjukkan tiket pulang yang sah ketika pemeriksaan, mempunyai tempat tinggal dan kewangan yang mencukupi,” kata beliau dalam rancangan temu bual di sebuah televisyen berkenaan isu kawalan pelawat asing di sini hari ini.
Selain itu, Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 15 juta pelancong asing telah direkodkan agensi itu pada tahun lalu untuk masuk ke negara ini.
PEMBUKAAN
Kata beliau, jumlah itu dmeningkat susulan pembukaan semula pintu sempadan pada April tahun lalu.
“Sebelum pandemik Covid-19, kita telah menerima kemasukan 34 juta warga asing ke negara ini tetapi jumlah itu menurun kepada enam sehingga tujuh juta sepanjang 2020 dan 2021 ketika penularan Covid-19.
“Seperti kita maklum, kerajaan China mengumumkan pembukaan semula pintu sempadan pada 8 Januari lalu. Ini merupakan satu berita baik kepada industri pelancongan dan JIM akan memberikan peranan penting dalam memastikan kemasukan mereka ini beri faedah ekonomi dalam masa sama keselamatan kesihatan rakyat kita terjamin,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 1,200 pelawat China telah tiba dari republik itu semalam membabitkan enam penerbangan.
“Pemeriksaan dilakukan, tiada seorang penumpang positif atau menunjukkan tanda dijangkiti Covid-19.
“Mereka diawasi penuh teliti oleh JIM di kaunter-kaunter khas yang dibuka khas dilalui pelawat negara berkenaan,” katanya.- UTUSAN