Waris mangsa tanah runtuh meraung, hilang empat ahli keluarga

Waris mangsa tanah runtuh meraung, hilang empat ahli keluarga

BEH Su Lee 59 (tengah), sebak selepas membuat tuntutan mayat anak, menantu, dan dua cucunya yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, di Hospital Sungai Buloh, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang waris meraung kesedihan apabila dimaklumkan dia telah kehilangan empat ahli keluarga dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali-Genting Highlands.

Beh Su Lee, 59, bukan sahaja kehilangan anak perempuan dan menantunya masing-masing dalam lingkungan 30an, dia juga kehilangan dua orang cucu iaitu cucu lelaki dan perempuan masing-masing dibawah umur enam tahun.

Malah, kedengaran tangisannya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh sewaktu van jenazah membawa keluar empat ahli keluarganya.

“Empat orang (hilang)…anak, menantu dan dua orang cucu.

“Tadi sudah tahu satu (identiti), semalam tiga,” katanya ketika ditanya oleh pemberita sebelum berlalu pergi untuk proses pengebumian.

Empat ahli keluarga Su Lee yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu dipercayai bercuti di tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm sebelum kejadian tanah runtuh meragut nyawa mereka.

Empat mangsa itu merupakan sebahagian daripada 24 mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh.

Namun, identiti keempat-empat ahli keluarganya masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Hanya enam identiti mangsa telah dikenal pasti setakat ini termasuk termasuk pekerja kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Nurul Azwani Kamarulzaman.

Selebihnya, identiti mangsa masih belum dapat disahkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN