Warga emas pukul anjing didenda RM23,000

Warga emas pukul anjing didenda RM23,000

Yong Kay Sang, 62, ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang bagi menghadapi pertuduhan memukul seekor anjing dengan menggunakan sebatang kayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga emas memukul seekor anjing yang sebelum itu telah mengejarnya sehingga terjatuh dan luka, mengakibatkannya didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini.

Yong Kay Sang, 62, yang dituduh sebagai orang kena saman (OKS) dikenakan denda tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memukul seekor anjing kepunyaan Yee Chan Fai, 35, dengan menggunakan sebatang kayu.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob turut memerintahkan OKS dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut dan Kay Sang membayar denda terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Saga 15 di sini pukul 9 pagi pada 24 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, anjing betina milik Chan Fai mengejar Kay Sang sehingga terjatuh sehingga OKS mengalami luka di bahagian tangan dan kaki.

OKS kemudian bertindak balas dengan mengejar anjing berkenaan hingga masuk ke sebuah rumah di taman perumahan sama lalu memukul anjing betina itu menggunakan sebatang kayu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran manakala Kay Sang diwakili peguam bela, Hajinder Singh.

Pada prosiding sama, pemilik anjing berkenaan, Chan Fai, 35, turut didakwa atas tuduhan gagal mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pukul 8.30 pagi, di tempat dan tarikh sama dan pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 24(1) (a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes membabitkan Chan Fai ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Januari 2023. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya