Usul undi percaya politik berani Anwar - Utusan Malaysia

Usul undi percaya politik berani Anwar

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Da­tuk Seri Anwar Ibrahim me­neruskan usul undi percaya pada pembukaan sidang Parlimen 19 Disember ini mengambarkan Perdana Menteri seorang yang berani dalam berpolitik.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, usul undi percaya juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri selain akan memberi keyakinan kepada rakyat dan dunia tentang ke­absahan beliau menduduki kerusi nombor satu.

“Segala ketidaktentuan dan keraguan tentang kredibiliti Anwar akan diselesaikan secara tuntas dengan undi percaya itu dan jika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berjaya melepasinya maka selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang boleh mempertikaikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Kesannya bukan sahaja baik kepada Anwar, malah, untuk imej negara sama ada di mata rakyat mahupun dunia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Oleh itu, menurut beliau, pandangan sesetengah pihak bahawa keputusan Anwar ma­hu meneruskan usul undi percaya ke atasnya sebagai pendekatan untuk ‘bunuh diri’ tidak betul.

Pada 24 November lalu, Anwar memaklumkan, mesyuarat pertama sidang Dewan Rakyat akan dimulakan dengan agen­da mengemukakan usul undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri.
Kata Jeniri, beliau yakin proses undian berkenaan akan berjalan lancar tanpa ada mana-mana pihak yang menarik sokongan.

SOKONGAN

“Saya yakin Anwar ada cu­kup sokongan kerana pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut direstui Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya tidak rasa ada mana-mana ahli atau parti dalam gabungan itu yang mahu memudaratkan diri dengan tidak menyokong usul berkenaan.

“Bagi saya tidak masuk akal jika ada yang membayangkan keputusan undian usul undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah seri kerana beliau memiliki dua pertiga sokongan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tanpa usul undi percaya, Anwar tetap berdepan situasi sama ketika pembentangan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023.

Oleh itu, menurut beliau, strategi awal mengumumkan usul undi percaya pada sidang Parlimen 19 Disember ini secara tidak langsung dapat menimbulkan simpati dalam kalangan parti gabungan kerajaan perpaduan terhadapnya.

“Sebelum ini, jarang Perdana Menteri yang seberani Anwar tetapi saya fikir beliau ada strategi dan tetap perlu melalui situasi sama kerana selepas ini ada pembentangan RUU Belanjawan 2023 dan jika tidak dapat sokongan, seolah-olah menggambarkan beliau hilang kepercayaan ahli dewan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×