Tiada lagi laporan jangkitan ASF pada babi hutan di Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Tiada lagi laporan jangkitan ASF pada babi hutan di Kuala Pilah

BAKRI SAWIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada lagi kematian babi hutan yang dilaporkan berlaku di negeri ini selepas terdapat pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) pada seekor babi hutan yang mati di Kampung Parit, Kuala Pilah pada 28 Oktober lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik malah kes berkenaan juga telah dianggap selesai.

“Kes kematian babi hutan itu ini adalah kes lama dan telah berlaku lebih sebulan lalu di Kampung Parit, Kuala Pilah. Bangkai babi hutan tersebut juga telahpun mereput dan sampel tulang telah diambil untuk ujian lanjut. 

“Sampel babi hutan itu diambil hutan dan didapati positif (ASF), hanya satu kes sahaja ditemui di situ. Selepas itu, tiada lagi penemuan babi hutan yang mati dan kami menganggap kes itu telah selesai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Hab KITARecycle di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS), Dr. Kamarulrizal Mat Isa ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya telah menerima laporan kematian seekor babi hutan jantan dewasa berusia lebih kurang tiga tahun di Kampung Parit, Kuala Pilah pada 28 Oktober lalu. 

“Semasa siasatan, didapati bangkai babi tersebut telahpun mereput dan sampel tulang telah diambil untuk ujian lanjut. Keputusan ujian makmal secara real time PCR menunjukkan ia positif ASF.

“Pihak JPVNS dalam proses untuk menukar status indeks penyakit ASF di kampung itu kepada status pulih berikutan tiada kes ASF baharu dikesan setelah 40 hari. Orang awam tidak perlu bimbang tentang laporan kejadian penyakit ASF tersebut seperti yang tular di media sosial,” katanya.

Tambah Kamarulrizal lagi, sebagai langkah kawalan dan pencegahan penyakit ASF, surat pemakluman tentang kejadian penyakit ASF pada babi hutan itu telah dikeluarkan kepada semua pejabat perkhidmatan veterinar daerah dan negeri. 

“Surat pemakluman turut dipanjangkan kepada penduduk tempatan melalui ketua kampung, persatuan, pemburu babi hutan, penternak babi komersial serta agensi yang berkaitan dan larangan memburu babi hutan juga telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan),” katanya.

Pada 9 April lalu, media melaporkan Negeri Sembilan mencatatkan kes jangkitan wabak ASF apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson. 

Dua kes positif itu disahkan menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak yang kemudian turut menjangkiti sebanyak 273 ekor babi. Kesemua babi itu kemudiannya dilupuskan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya