Tengku Zafrul dahului 104 senarai penerima darjah kebesaran - Utusan Malaysia

Tengku Zafrul dahului 104 senarai penerima darjah kebesaran

Zafrul darjah
TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz, menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerima darjah kebesaran SPMS yang membawa gelaran Datuk Seri di Balairung Seri Istana Alam Shah di Klang, Selangor, hari ini. - FOTO / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mendahului senarai 104 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) daripada baginda yang membawa gelaran Datuk Seri dalam satu istiadat diadakan di Istana Alam Shah.

Turut menerima darjah sama adalah Presiden Kumpulan Perdana Parkcity Sdn. Bhd. yang juga Pengerusi Eksekutif Samling Strategic Corporation, Datuk Seri Yaw Chee Ming.

Seterusnya, dalam istiadat sama juga, seramai 22 orang menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk iaitu Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS).

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran – Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada 10 orang, antaranya adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Zakri Jaafar dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd. Ghany.

Turut menerima anugerah sama adalah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Roslan Sulaiman; Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Salim Soib @ Hamid; Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Datuk Ishak Bakri dan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azizul Adnan.

Bagi anugerah Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran sama, mendahului senarai adalah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis diikuti dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Mohd. Yazid Sairi.

Sultan Selangor juga menganugerahkan darjah sama kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid dan Profesor Jabatan Komunikasi UPM, Profesor Datuk Dr. Abdul Mu’ati Zamri Ahmad.

Tiga profesional sektor swasta turut menerima anugerah tersebut iaitu Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi KPJ Selangor Specialist Hospital, Datuk Dr. Siti Esah Bahari; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Azmir Merican Azmi Merican dan Pengarah Urusan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management, Datuk Ramli Mohd. Tahir.

Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Ke-77 itu juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan AMS kepada Johan Tilawah (Qariah) Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2019 dan 2022 iaitu Sofizah Mousin dan Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Turut dianugerahkan adalah penyumbang-penyumbang jasa dalam bidang sukan seperti Ketua Pegawai Eksekutif Red Giants FC Sdn. Bhd. Dr. Johan Kamal Hamidon yang menerima pingat Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS).

Selain itu, atlet seperti Atlet Karate, Sharmendran Raghonathan dan Shahmalarani Chandran serta Atlet Golf, Marcus Lim Pang Chuen dianugerahkan pingat Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS).

Pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Raja Muda, Puan Sri Thamayanti Ampikaipakan yang menerima darjah DSIS. Selain itu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Selangor, Nanthakumar Rajasingam menerima anugerah Setia Mahkota Selangor (SMS).

Dua lagi pemimpin NGO seperti Ketua Eksekutif, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa dan Setiausaha Persatuan Suru dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Hulu Langat, Roselina Mokhtar, masing-masing menerima anugerah Ahli Mahkota Selangor (AMS).

Sebanyak 2,535 pencalonan diterima bagi penganugerahan darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri ketika dibuka permohonannya bermula 16 Jun hingga 16 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.