Suami tidak mengaku bersalah cucuh isteri dengan gunting panas

Suami tidak mengaku bersalah cucuh isteri dengan gunting panas

SEORANG pekerja bengkel kereta tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan mencucuh isterinya dengan gunting yang dipanaskan dalam kejadian di sebuah bengkel di Felda Jelai, Gemas, Tampin 13 Disember lalu.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pekerja bengkel motosikal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan mencucuh isterinya dengan gunting yang dipanaskan dalam kejadian di sebuah bengkel di Felda Jelai, Gemas, 13 Disember lalu.

Tertuduh, Mohamad Faiz Shahruddin, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam di rumah bengkel Felda Jelai, Gemas, Tampin, tertuduh dengan sengaja mendatangkan cedera iaitu dengan cara mencucuh benda hangat iaitu sebilah gunting yang dipanaskan pada jari telunjuk kiri isterinya yang berusia 27 tahun.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Tertuduh bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Muhammad Amirul juga memohon tiada tawaran jaminan diberikan berdasarkan siasatan awal menunjukkan tertuduh mencucuh bilah gunting yang dipanaskan sehingga isterinya iaitu mangsa mengalami kecederaan tahap satu.

Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih kecil dan tinggal bersama.

Tertuduh bagaimanapun semasa prosiding dijalankan, mencelah serta merayu ingin berjumpa isterinya untuk tujuan menarik balik kes kerana tidak mahu masuk penjara.

Bahkan, tertuduh memohon diberikan jaminan yang rendah .

Hakim bagaimanapun menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Januari dan tiada jaminan ditawarkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN