Sivaraj beri laluan kepada PH tanpa syarat

Sivaraj beri laluan kepada PH tanpa syarat

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj yang bersetuju memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) melakukan perkara itu tanpa sebarang syarat.

Justeru, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan akan mempertimbang peranan yang sesuai untuk diberikan kepada Sivaraj.

“Penarikan diri Sivaraj (daripada bertanding) dibuat tanpa syarat. Tapi, saya yakin sebagai tokoh muda sudah tentu saudara Sivaraj ini layak untuk mendapat tempat.

“Dalam sebuah kerajaan baharu seperti ini tentu sahaja tokoh-tokoh muda sebegini akan ada tempat selayaknya yang akan kita pertimbangkan,” katanya selepas menghadiri ceramah PH, di sini semalam.

Ceramah tersebut turut dihadiri Sivaraj, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak.

Jumaat lalu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa BN sedia memberi laluan kepada calon PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, 7 Disember ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata,  penarikan diri Sivaraj dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, antara asas yang dikemukakan PH untuk BN menarik diri adalah ekoran keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada BN pada PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

“Jadi, dalam semangat kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman, PH tarik diri, (manakala) di Padang Serai ini Sivaraj tarik diri dan saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, nama-nama menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan yang dicadang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat mengikut proses serta mengambil kira semua perkara.

“Satu keputusan sudah tentu mengundang pro dan kontra dan kita akan hadapinya. Kita yakin dengan pengalamannya beliau (Anwar) mampu untuk memimpin kementerian yang penting ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN