Sivakumar dari sidang DUN bawah pokok ke Putrajaya - Utusan Malaysia

Sivakumar dari sidang DUN bawah pokok ke Putrajaya

V. Sivakumar mempengerusikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok semasa krisis perlembagaan negeri itu pada 3 Mac 2009.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: V. Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia mengakui tidak pernah melupakan peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan bawah pokok pada 3 Mac 2009 semasa krisis Perlembagaan Perak.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu yang kini menjawat jawatan menteri Kabinet berkata, peristiwa itu penting dalam perjalanan karier politiknya apabila beliau yang ketika itu Speaker DUN Perak memanggil persidangan di bawah pokok setelah tidak dibenarkan mengadakan persidangan dalam Dewan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sivakumar yang mengimbas peristiwa itu berkata, beliau terpaksa memanggil sidang tergempar bawah ‘Pokok Hujan-hujan’ selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat dihalang mema­suki bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.

“Ya peristiwa itu tidak mungkin saya lupakan semasa krisis Perlembagaan Perak pada 2009, semasa itu saya Speaker DUN. Persidangan DUN di bawah pokok berlaku kerana saya menjalankan tugas Speaker yang cuba mempertahankan kerajaan sedia ada.

“Saya buat kerja Speaker berdasarkan prinsip demokrasi, ketika itu walaupun saya adalah Speaker DUN tapi saya dihalang mengadakan persidangan DUN di dalam Dewan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, maka saya terpaksa membuat keputusan segera dengan memanggil me­syuarat DUN walaupun ia dilakukan di bawah pokok.

“Ada pihak yang kata peristiwa itu melucukan tapi peristiwa ini membuka mata rakyat, persidangan DUN tidak semestinya dalam bangunan, tidak ada undang-undang yang halang persidangan DUN bawah pokok, persidangan DUN tidak disyarat diadakan dalam Dewan.

PERISTIWA

“Ketika itu saya masih seorang ahli politik muda, ramai yang tak kenal saya, tapi peristiwa persidangan DUN bawah pokok memperkenalkan saya di kawasan saya sebagai ADUN Tronoh, di seluruh negara dan di peringkat antarabangsa.

“Peristiwa itu memberikan beri semangat baru kepada. Saya mendapat semangat perjuangan yang lebih kental dalam politik untuk menuntut keadilan sehingga saya kini dilantik sebagai menteri,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar ber­kata, sebaik sahaja dilantik menteri, fokus beliau ialah untuk memastikan kerajaan dapat memberikan berkhidmat yang terbaik untuk rakyat.

Menurutnya, setakat ini beliau belum masuk pejabat namun akan bertemu dengan pegawai atasan dan keseluruhan warga Kementerian Sumber Manusia.

“Kementerian ini sangat pen­ting untuk saya menyelesaikan berbagai masalah dan juga pen­ting untuk saya membantu perdana menteri menangani masalah ekonomi negara,” katanya.

Sebagai satu-satunya menteri dalam kalangan kaum India, Sivakumar berkata, beliau akan melihat cara terbaik untuk membantu masyatakat India secara keseluruhannya.

“Namun tidak semestinya men­teri kaum India membela nasib masyarakat India. Usaha membela mereka perlu ditangani secara bersama, melibatkan keseluruhan Kabinet, bukan saya sahaja,” katanya.

Memulakan kerjaya politik pada 1997 dengan menyertai DAP, Sivakumar pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Selepas 25 tahun berkecimpung dalam politik, Sivakumar, 51, yang menyandang kerusi Parlimen Batu Gajah sejak 2013 dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN