Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

 SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini gagal mendapatkan rakaman percakapan 15 orang saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pembelaan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan tersebut.

Hakim Izralizam Sanusi ketika membaca keputusannya menyatakan, rakaman percakapan yang diberikan saksi-saksi berkenaan kepada pihak polis sewaktu siasatan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella adalah sesuatu yang dilindungi oleh undang-undang.

“Pernyataan yang dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah adalah pernyataan yang dibuat ketika siasatan, (ia) adalah terlindung (oleh undang-undang). Selain itu pernyataan itu tidak boleh diterima dalam keterangan kecuali untuk tujuan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi.

“Saksi-saksi dalam kes ini sudah tersedia dan boleh ditemuramah oleh pihak pembelaan pada bila-bila masa. Jadi, tiada sebarang kegagalan bagi mencapai keadilan,” katanya.

Berhubung permohonan untuk memanggil semula beberapa orang saksi, Izralizam menyatakan mahkamah perlu meneliti siapakah saksi-saksi yang akan dipanggil dan alasan serta tujuan saksi itu dipanggil.

“Mahkamah ini mempunyai tanggungjawab, kuasa dan budi bicara untuk menentukan sama ada pemanggilan semula saksi yang dinamakan adalah menjurus kepada unsur remeh, menyusahkan atau menghalang keadilan dicapai.

“Jadi, kebenaran hanya akan diberikan selepas saya meneliti dan menimbangkan senarai saksi-saksi yang lengkap serta tujuan dan alasan pemanggilan semula saksi-saksi tersebut. 

“Ini tidak bermakna saya menolak permohonan ini, tetapi, permohonan tersebut akan dipertimbangkan sekiranya saya mendapat maklumat, alasan-alasan yang cukup sebelum saya memberi perintah yang selanjutnya,”katanya.

Menurut permohonan yang difailkan, pihak pembelaan menamakan tiga saksi iaitu bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mohmood; Pegawai Penyiasat bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ASP Rohaini Baharom dan pakar bedah plastik Dr. Salmi Mohamed Shukur untuk dipanggil semula.

Bagaimanapun, dalam hujahan yang difailkan, pembelaan memaklumkan bahawa senarai saksi yang akan dipanggil semula itu tidak muktamad dan mungkin akan terdapat lagi saksi-saksi lain yang akan dipanggil.

Pada prosiding yang sama, Izralizam menetapkan 25 hari untuk perbicaraan peringkat bela diri di antara 5 Januari dan 30 Mac 2023.

Perbicaraan peringkat bela diri yang sepatutnya bermula pada 5 Disember lalu terpaksa ditangguhkan selepas Siti Bainun dimasukkan ke hospital kerana menghidap pneumonia. 

Wanita itu juga dijadualkan untuk menjalani pembedahan membuang hempedu.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Kes itu mula dibicarakan pada 30 Mac lalu dan pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 28 Oktober lalu selepas memanggil 22 orang saksi untuk memberi keterangan.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.