PETALING JAYA: Sidang Dewan Rakyat hari ini adalah Mesyuarat Penggal Pertama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Persidangan itu akan berlangsung dua hari sehingga esok, 20 Disember.
Perkara utama sidang itu yang dijangka menjadi tumpuan ialah mengenai usul undi percaya terhadap Anwar bagi menguji keabsahan sokongan wakil-wakil rakyat terhadap beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ini selepas kontroversi perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain yang membentuk Kerajaan Pusat, apabila memasukkan klausa yang menyatakan bahawa mana-mana ahli parlimen yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan sekali gus kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Perkara lain yang dijangka mencuri tumpuan, apabila parti-parti berlainan ideologi sebelum ini, kali ini akan duduk bersama sebagai kerajaan. Ini termasuk UMNO dan DAP, dengan ramai ternanti-nanti situasi apabila wakil rakyat kedua-dua parti sama-sama menepuk meja sebagai tanda bersetuju terhadap sebarang usul.
Pada masa sama, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, sidang itu juga akan memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Selanjutnya selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat mengangkat sumpah disusuli ahli-ahli Dewan Rakyat, pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan dibuat.
Selain itu, Menteri Kewangan dalam sidang tersebut akan mencadangkan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.
Bagi perkara itu, sebanyak RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera bagi maksud-maksud yang dinyatakan dalam penyata sementara yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 54 Tahun 2022.- UTUSAN










