Shahrir patut lapor kewujudan RM1 juta dalam akaunnya -saksi

Shahrir patut lapor kewujudan RM1 juta dalam akaunnya -saksi

SHAHRIR Ab. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib Tun Razak.-UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Tan Sri Shahrir Ab. Samad sepatutnya melaporkan kewujudan wang RM1 juta dalam akaunnya bagi membolehkan semakan dibuat sama ada wang itu merupakan pendapatan dan perlu dikenakan cukai.

Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, wang yang diterima oleh bekas Pengerusi Felda itu merupakan jumlah yang banyak dan semakan perlu dilakukan sama ada wang itu layak dicukai atau sebaliknya.

Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN menyatakan, jumlah cukai yang akan dikenakan bergantung kepada jumlah pendapatan.

“Tanggungjawab pembayar cukai adalah melaporkan pendapatan bergantung kepada kategori tertentu. Komisen dan sewa juga merupakan pendapatan.

“Sebagai contoh, jika pendapatan RM100,000, individu berkenaan mesti membuat semakan dengan LHDN dan memastikan sumbernya daripada mana,” ujarnya pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi.

Tuan Zulkfli yang juga saksi pendakwaan ke-21 selanjutnya menyatakan, wang yang diterima daripada ahli keluarga untuk kegunaan sendiri tidak dikenakan cukai.

Namun sebaliknya, ujar saksi, jika wang diterima daripada individu tertentu dan melibatkan jumlah yang banyak, ia perlu dilaporkan kepada LHDN.

Pada 5 Oktober lalu, Tuan Zulkfli memberitahu, Shahrir tidak mengisytiharkan pendapatannya melebihi RM1 juta dalam tempoh 2013 hingga 2018.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Tuan Zulkfli mengesahkan, pendapatan Shahrir pada 2013 (RM87,834.00); 2014 (RM128,104.00), 2015 (RM213,394.00), 2016 (RM189,545.00), 2017 (RM267,090.00) dan 2018 (RM193,191.00).

Pada prosiding hari ini, saksi menyifatkan Shahrir seorang pembayar cukai yang baik kerana tidak pernah gagal menghantar borang taksiran sejak 2004.

Namun, Tuan Zulkfli menyatakan, tuduhan gagal mengisytiharkan harta merupakan kesalahan berat dan memalukan yang boleh menyebabkan maruah tercalar tanpa mengira individu itu ahli Parlimen atau orang biasa.

Dalam keterangannya, saksi juga berkata, tindakan individu untuk menipu LHDN bergantung kepada niatnya ketika itu.

“Niat bergantung kepada individu, apa yang difikirkannya ketika itu sama ada untuk tidak melaporkan kepada LHDN tetapi kemudiannya memaklumkan dia tersilap.

“Niat jahat pula bermaksud dia tahu penerimaan wang itu perlu dilaporkan, namun, tidak berniat berbuat demikian. Jadi, memang itu niat yang salah,” ujar saksi.

Tuan Zulkfli selanjutnya menyatakan, individu melakukan kesalahan jika melaporkan pendapatan kurang daripada yang sepatutnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok bagi mendengar keterangan pegawai penyiasat.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.