HULU SELANGOR: Sektor A (Hillview) menjadi tumpuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini bagi meneruskan usaha mencari mangsa terakhir di tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM), Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 27 anggota bomba yang terlibat dalam operasi tersebut, itu menjadi pasukan keseluruhan SAR adalah 80 orang.
“Operasi alan ditumpukan di antara sektor A yang dijangkakan lokasi terakhir mangsa berada. Pada 7.30 pagi, pasukan recce memulakan penilaian struktur tanah dan keadaan di ground zero.
“Seterusnya, pasukan K9 membuat pengesanan di sektor yang terlibat sebelum SAR memulakan pencarian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah mangsa insiden yang terjadi Jumaat lalu melibatkan seramai 92 mangsa dan ketika ini hanya satu mangsa sahaja masih tidak dapat ditemui.
Pada masa sama, SAR berjaya menemui mangsa selamat sebanyak 61 orang iaitu 14 pekerja dan 47 pengunjung.
Walau bagaimanapun, tragedi tersebut turut mengorbankan 30 pengunjung iaitu enam kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, 14 wanita dewasa dan enam lelaki dewasa. –UTUSAN