Saya akur keputusan parti -Sivaraj

Saya akur keputusan parti beri laluan kepada PH-Sivaraj

C. SIVARAJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj menerima keputusan dibuat gabungan itu untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sivaraj berkata, beliau mengambil maklum ketetapan kepimpinan tertinggi BN berhubung status penglibatan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu.

“Saya akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti. Tiada kepentingan yang lebih penting daripada kepentingan parti, parti diutamakan.

“Biarpun begitu, saya percaya khidmat saya selama lebih tiga tahun di Parlimen Padang Serai memberi harapan kepada ribuan masyarakat.

“Kaum ibu sentiasa melayan saya seolah-olah saya anak mereka, kakak-kakak dan abang-abang yang tidak pernah leka untuk memberi nasihat dan bimbingan bila perlu serta adik-adik yang sentiasa menyorak dan memberi sokongan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan memberi laluan kepada PH dibuat setelah mengambil kira hasil perbincangan dan nasihat pimpinan atasan terutama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Sivaraj mengambil keputusan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Padang Serai yang menjadi pembakar semangat kepadanya selama ini.

“Walaupun saya sedar saya tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah besar dihadapi mereka, saya percaya dengan sedikit kebolehan dan kemampuan, sudah tentu mampu membantu pelbagai masalah asas yang mereka hadapi.

“Saya mohon Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan agar isu yang diketengahkan melalui Manifesto 5 Tekad untuk Padang Serai diberi perhatian sewajarnya kerana kawasan ini jauh ketinggalan dalam segenap aspek. Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan,” katanya.

Pada masa sama, Sivaraj menyatakan penghargaan terhadap kepemimpinan tertinggi BN atas peluang dan ruang yang diberikan kepadanya selama tiga tahun bekerja di Parlimen itu.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada jentera dan rakan media yang bersama-sama membantu dalam perjuangan saya di sini, bukan sekadar dalam tempoh berkempen baru-baru  ini, tapi sejak hari pertama saya mula berkhidmat tiga tahun lalu. Segala sokongan dan dorongan akan sentiasa saya hargai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN