PRN: Belum ada perbincangan kerjasama PH, BN

PRN: Belum ada perbincangan kerjasama PH, BN

MOHAMAD Hasan menyampaikan sumbangan zakat kepada penerima selepas merasmikan majlis Hari Bertemu Pelanggan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kawasan Rembau di Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Belum ada apa-apa perbincangan mengenai perkara kerjasama di antara  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di peringkat parti itu juga, perkara berkenaan belum dibincangkan.

“Biar parti berbincang dengan parti, saya tidak mahu komen apa-apa, kerana parti belum berbincang apa-apa,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Bertemu Pelanggan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kawasan Rembau di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PH belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN atau sebaliknya.

Beliau berkata, ia berikutan fokus gabungan itu ketika ini adalah untuk mewujudkan dan memperkasa keserasian bersama BN dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut berkata, masih belum ada perbincangan awal di antara PH dan BN mengenai kerjasama termasuk berkenaan pengagihan kerusi di antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN pada tahun hadapan.

Bagaimanapun beliau mengakui, jika kerjasama tersebut berjaya dimuktamadkan, ia dapat memberi lebih keyakinan kepada PH untuk mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diduduki ketika ini.

Di Negeri Sembilan, PH membentuk kerajaan selepas PRU14 yang lalu selepas memenangi 20 kerusi DUN daripada 36 buah kerusi secara keseluruhan manakala baki 16 buah kerusi lagi dimenangi oleh BN. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN