PASIR MAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Lubok Jong di sini, hari ini.
Anwar tiba pada pukul 5.30 petang dan meluangkan masa kira-kira lima minit untuk melihat dan meninjau situasi terkini banjir di kawasan berkenaan.
Selepas itu, beliau bertolak ke ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja untuk menyantuni mangsa banjir.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan PLSB Sungai Golok di Kuala Teluk, Kampung Lachang, Rantau Panjang pecah pada pukul 5.30 petang.
Situasi itu bakal menyaksikan beberapa kawasan di Tumpat seperti Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Simpangan, Kampung Naga Ibu dan kawasan sekitar akan dilanda banjir.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Kelantan, Kamal Mustapha berkata, ban yang pecah itu melibatkan kawasan sepanjang 50 meter.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Longge, Che Soh, Che Ahmad, 52, berkata, PLSB sepatutnya dibina di kedua-dua belah bagi mengelak air melimpah ke kawasan
Menurutnya, PLSB yang ada sekarang ini telah menyebabkan beberapa lokasi yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini turut ditenggelami air kali ini.
“Benteng ini (PLSB) perlu dibuat di kedua-dua belah iaitu di sebelah kiri dan kanan supaya air tidak melimpah ke kawasan yang tidak mempunyai benteng.
“Selain itu, benteng ini juga perlu dibuat lebih tinggi. Ini kerana dengan keadaan sekarang, ia amat memberi kesan kepada penduduk kampung,” ujarnya.-UTUSAN