Perjumpaan doktor kontrak, Menteri Kesihatan dalam masa terdekat

Perjumpaan doktor kontrak, Menteri Kesihatan dalam masa terdekat

Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan berjumpa Menteri Kesihatan dalam masa terdekat bagi berbincang isu perkhidmatan pegawai perubatan berkenaan. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam masa terdekat bagi membincangkan isu melibatkan pegawai perubatan kontrak dan beberapa tuntutan lain kepada kerajaan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan memberitahu, belum ada tarikh ditetapkan untuk pertemuan tersebut selepas Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Napsiah Khamis Maharan berhubung dengan wakil gerakan tersebut.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini melaporkan jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin yang memberitahu, beliau telah dihubungi Napsiah Khamis Maharan untuk menetapkan satu perjumpaan bersama doktor-doktor kontrak nanti.

“Setiausaha politik menteri ada hubungi saya mahu buat perjumpaan tetapi masanya belum diketahui lagi. Mungkin pada minggu depan.

“Semasa dihubungi, beliau (Napsiah) tanyalah apa yang berlaku antara kami dan Menteri Kesihatan terdahulu, Khairy Jamaluddin kerana sebelum ini kami telah berjumpa beliau dua kali. Jadi, nak tahu apa maklumat diperoleh semasa perjumpaan sebelum ini.

“Jangkaan perjumpaan nanti kita akan melihat isu-isu doktor kontrak seperti perjawatan tetap, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan pelan jangka panjang Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Napsiah turut mengesahkan kepada Utusan Malaysia beliau ada menghubungi Dr. Muhammad Yassin berhubung perkara tersebut.

“Belum pasti lagi, tetapi perbincangan akan diadakan secara tertutup,” katanya.

Sebahagian dalam kalangan doktor kontrak berdepan masalah dilantik ke jawatan tetap sejak sekian lama, yang menjurus kepada mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai 2021, bagi menuntut hak sama seperti pegawai perubatan lantikan tetap.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan, kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memastikan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara ditubuhkan dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.

Hal ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berhubung reformasi kesihatan bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak.

Pada Ogos lalu, Khairy mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan, bagi membolehkan pengurusan lebih terancang khusus untuk meningkatkan jumlah perjawatan serta elaun pekerja di kementerian itu.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dijangka tidak dapat diteruskan memandangkan bekas ahli Parlimen Rembau itu tewas dalam PRU15 dan tidak lagi berpeluang memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Khairy semasa pertemuan sebelum sesi penyerahan Nota Serah Tugas bekas Menteri Kesihatan kepada Menteri, Isnin lalu, berharap supaya pembentangan Kertas Putih Kesihatan diteruskan kerana penting untuk reformasi sistem kesihatan negara.

Kabinet sebelum ini menawarkan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh, tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya