Pasangan suami isteri jadi ‘transporter’ edar syabu RM9.5 juta

Pasangan suami isteri jadi ‘transporter’ edar syabu RM9.5 juta ditahan

MUHAMMAD Zaki Harun (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan bungkusan syabu semasa sidang akhbar di IPD Kuala Krai, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Kegiatan sepasang suami isteri  dipercayai menjadi ‘transporter’ untuk mengedar syabu bernilai RM9.5 juta terbongkar selepas ditahan polis di hadapan Eco Park Batu Jong, di sini semalam.

Pasangan suami isteri berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 pagi semasa sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Dalam serbuan itu, polis turut menemukan syabu seberat 246 kilogram (kg).

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu membawa kepada penemuan 11 guni putih di bahagian belakang pemandu dan penumpang.

“Pemeriksaan ke atas setiap guni putih mengandungi 24 bungkusan foil berwarna silver. Setiap bungkusan itu mengandungi plastik lutsinar bertulis ‘guanyinwang’ yang disyaki berisi dadah jenis syabu.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8,899 dan 200 Baht Thailand ,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati pasangan suami isteri itu diberi upah sebanyak RM5,000 setiap kali penghantaran.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek enam kali menjadi ‘transporter’ dan semasa ditahan, mereka turut membawa dua anak mereka berusia empat tahun dan lapan bulan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Disember 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan boleh digunakan oleh seramai lebih 2.6 juta orang penagih dadah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki Melayu berusia 22 hingga 34  tahun di tepi rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chuchoh Puteri, Kuala Krai pada 30 November lalu pada pukul 1 pagi dan merampas 877 biji pil yaba yang bernilai RM8,770.

“Manakala pada 29 November lalu, seorang lelaki Melayu berusia 33 tahun di tahan di sebuah bangsal di dalam kebun getah Kampung Peria Lama, Kuala Krai kira-kira pukul 5 petang bersama 594 biji pil yaba.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 29 November hingga 6 Disember ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.