Orang Asli Pos Balar terputus hubungan, laluan di timbus tanah

Orang Asli Pos Balar terputus hubungan, laluan di timbus tanah runtuh

KEADAAN tanah runtuh di Bukit Beringin, Pos Balar, Gua Musang, Kelantan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seramai 800 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini terputus hubungan selepas laluan yang menjadi jalan keluar dan masuk ke perkampungan mereka tertimbus akibat tanah runtuh, semalam.

Kejadian disedari penduduk Orang Asli suku kaum Temiar kira-kira pukul 1 tengah hari apabila berlaku runtuhan tanah dari lereng bukit sehingga menutup permukaan jalan balak.

Seorang penduduk Orang Asli, Pasie Jossua, Mustafar, 24, berkata, dia bersama beberapa penduduk Orang Asli lain berada di kawasan berhampiran ketika kejadian.

Menurutnya, dia dapat melihat pergerakan tanah dan batu yang turun sebelum melihat pokok tumbang dari kawasan atas Bukit Beringin. 

“Kami terkejut melihat pokok tumbang dan bunyi tanah runtuh jatuh menutup jalan.

“Sebelum itu, tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang menghantar bekalan makanan di Pos Balar sempat melalui jalan tersebut,” katanya.

Tok Batin Pos Balar, Alek Busu, 60, memberitahu, runtuhan tanah itu dipercayai berpunca daripada kejadian hujan berterusan sejak seminggu lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seramai 230 ketua isi rumah (KIR) terputus hubungan untuk ke bandar Gua Musang.

“Kami bimbang akan berlaku runtuhan susulan selepas ini kerana banyak pokok sudah tumbang di kawasan Bukit Beringin sempadan Kampung Chahuh, Pos Belatim ke Kampung Peng, Pos Balar.

“Penduduk di sini berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah jalan perhubungan kerana ia merupakan satu-satunya jalan untuk penduduk menghantar anak ke sekolah dan ke hospital,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Orang Asli berkenaan kejadian berkenaan.

Katanya, beliau merancang untuk membuat laluan alternatif bagi memudahkan urusan penduduk kampung buat sementara waktu.

“Setakat ini, kerja-kerja pembaikian cerun dan laluan tidak dapat dijalankan kerana tanah masih basah akibat cuaca hujan. 

“Penduduk Orang Asli dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak melalui jalan yang berisiko berlaku kejadian tanah runtuh,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.