Najib serah sendiri cek RM1 juta pada Shahrir -Pegawai Penyiasat

Najib serah sendiri cek RM1 juta pada Shahrir -Pegawai Penyiasat

SHAHRIR Ab. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib Tun Razak. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan sendiri cek RM1 juta kepada Tan Sri Shahrir Ab. Samad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sembilan tahun lalu.

Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop, 35, berkata, bekas Perdana Menteri menulis dan menandatangani sendiri cek AmIslamic milik beliau dan menyerahkannya kepada bekas Pengerusi Felda pada 27 November 2013.

Pegawai Cawangan Sasaran Operasi (OTC), Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berkata, siasatan mendapati terdapat kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Shahrir, pada keesokannya.

Saksi pendakwaan ke-22 menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Shahrir yang didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Nurzahidah berkata, pada 23 September 2019, beliau menghadiri taklimat berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau memaklumkan menerima kertas siasatan pada keesokannya berkaitan aduan bahawa Shahrir terlibat dalam amalan pengubahan wang haram dengan menerima, mengguna dan memindahkan hasil haram daripada aktiviti rasuah berkaitan penyelewengan dana 1MDB ke dalam akaun miliknya.

Ujar pegawai tersebut, beliau selanjutnya menjalankan siasatan dan mendapati beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285 dilakukan di antara 2 Disember 2013 dan 31 Mac 2014.

Menurut beliau, daripada keseluruhan transaksi pengeluaran, sebanyak RM543,800.00 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru manakala bayaran dibuat kepada individu yang dilantik oleh Shahrir.

Nurzahidah turut menyatakan, RM10,000 pula digunakan untuk perbelanjaan dalam mengendalikan tugas sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru melibatkan transaksi cek bertarikh 10 Disember 2013 kepada UMNO Cawangan Taman Kebun Teh.

Siasatan beliau turut mendapati, sebanyak RM443,485 dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi melibatkan transaksi empat keping cek di antara 2 Disember 2013 dan 8 Januari 2014.

“Tujuan peribadi itu itu antaranya melibatkan kemasukan RM200,000 ke akaun simpanan tetap Public Bank milik isterinya Shahrizan Abdullah, RM115,000 dimasukkan ke akaun simpan tetap Maybank Tan Sri Shahrir dan RM118,485 kepada Sutera Auto Sdn. Bhd. (syarikat kereta).

“Wang dalam akaun Simpanan Tetap Public Bank atas nama Shahrizan binti Abdullah dan Marisa Diyana binti Shahrir sebanyak RM200,000 turut dibekukan pada 20 Disember 2019,” ujarnya.

Pada 8 Ogos lalu, saksi pendakwaan ketujuh, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Pegawai penyiasat itu selanjutnya menyatakan, hasil siasatan malah menunjukkan Shahrir tidak pernah membuat pengisytiharan berkenaan penerimaan dana tersebut walaupun ianya dikira sebagai pendapatan beliau.

Ujar saksi, beliau selanjutnya mengemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya SPRM dan mencadangkan Shahrir dituduh kerana tidak mengisytiharkan dana RM1 juta yang diterima daripada Najib.

Saksi berkata, Shahrir kemudian ditangkap pada 20 Januari 2020 melalui notis tangkapan yang diserahkan kepadanya oleh Penguasa Kanan Ridzuan Kader dan selanjutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada keesokannya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok selepas saksi memohon penangguhan atas alasan tidak sihat dan mengalami hidung tersumbat yang menyukarkannya memberi keterangan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN